Khamis, 18 Oktober 2018 | 2:09pm
Mufti Kerajaan Negeri Perlis, Prof Madya Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin. - Foto Azhar Ramli
Mufti Kerajaan Negeri Perlis, Prof Madya Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin. - Foto Azhar Ramli

Kerajaan negeri tiada kuasa tarik balik sekatan ke atas Dr Maza

KUALA TERENGGANU: Kerajaan negeri tidak mempunyai kuasa untuk menarik balik larangan ceramah ke atas Mufti Perlis, Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin, seperti diputuskan Majlis Agama Islam dan Adat Melayu (MAIDAM) pada 2016 lalu.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Dakwah dan Penerangan negeri, Mohd Nor Hamzah, berkata larangan untuk mengadakan ceramah di seluruh negeri ini ke atas Mohd Asri atau lebih dikenali sebagai Dr Maza, dikeluarkan selaras Peraturan 21, Peraturan-Peraturan Tauliah (Terengganu) 2013.

Beliau berkata, penarikan balik larangan ceramah ke atas Dr Maza hanya boleh diputuskan MAIDAM selepas bermesyuarat dan mendapat pelbagai pandangan daripada beberapa agensi termasuk Jabatan Mufti negeri serta Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT).

“Kerajaan negeri tiada kuasa atau hak untuk menarik balik larangan itu. Saya berpendapat biarlah urusan itu diputuskan MAIDAM kerana banyak lagi proses perlu dilakukan, terutama perlu mendapat perkenan istana,” katanya selepas mewakili Menteri Besar, Dr Ahmad Samsuri Mokhtar merasmikan Muzakarah Perundangan Islam anjuran Jabatan Mufti negeri di sini, hari ini.

Turut hadir, Mufti negeri, Datuk Dr Zulkifly Muda dan Yang Dipertua MAIDAM, Datuk Osman Muda; Mufti Sabah, Datuk Bungsu @ Aziz Jaafar; Mufti Kelantan, Datuk Mohamad Shukri Mohamad dan Presiden Persatuan Peguam Syarie Kebangsaan, Musa Awang.

Mohd Nor yang juga Ahli Dewan Undangan negeri (ADUN) Bukit Payong, berkata demikian mengulas kemungkinan kerajaan negeri menarik balik larangan ceramah ke atas Dr Maza yang dikeluarkan MAIDAM pada 5 Julai 2016.

Larangan mengadakan ceramah di seluruh negeri Terengganu ke atas Dr Maza ditandatangani bekas Pesuruhjaya Hal Ehwal Agama Terengganu, Datuk Omar Musa selaras Peraturan 21, Peraturan-Peraturan Tauliah (Terengganu) 2013.

Dalam perkembangan lain, Mohd Nor berkata, penganjur yang bercadang mengundang penceramah luar mengadakan ceramah agama terutama di masjid dan surau negeri ini diminta mengemukakan permohonan kepada JHEAT, termasuk menyenaraikan nama penceramah.

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X