Rabu, 17 Oktober 2018 | 2:25pm
Buah bangkong yang sama seperti buah cempedak. - Foto Amran Yahya
Buah bangkong yang sama seperti buah cempedak. - Foto Amran Yahya

Buah bangkong, sejarah pelabuhan yang hilang

KUALA PILAH: Ibarat pelabuhan Penambang Bangkong di Juasseh di sini, yang sudah hilang dari peta, buah bangkong yang menjadi santapan tetamu diraja dan pedagang asing pada abad kelima, juga sudah pupus dari kawasan itu.

Penambang Bangkong juga pada ketika itu menjadi antara pelabuhan utama yang kerap disinggahi oleh pedagang.

Pensyarah Kanan Fakulti Bahasa dan Komunikasi, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Profesor Madya Datuk Dr Mohd Rosli Saludin, berkata walaupun kini kedengaran janggal, tetapi pada zaman itu, terdapat laluan sungai yang boleh dilalui kapal dagang kecil merentasi negeri ini dan Pahang, menyambungkan Selat Melaka ke Laut China Selatan.

“Mengikut sejarah, pelabuhan Penambang Bangkong ini diambil sempena nama pokok buah bangkong yang banyak tumbuh liar di kawasan Juasseh, terutama di kawasan pelabuhan itu sendiri.

“Pelabuhan berkenaan adalah hentian kapal serta perahu yang kedua terbesar selepas Pelabuhan Kuala Pilah,” katanya ketika ditemui NSTP pada program penjelasan berhubung asal usul Empang Bangkong di Juasseh di sini, hari ini.

Hadir sama, bekas Naib Canselor Kolej Universiti Poly-Tech MARA (KUPTM), Profesor Datuk Muhamad Nasir Saludin; Pakar Pakaian Tradisional Melayu, Siti Hajar Raihan dan Ketua Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Juasseh, Rosli Omar.

Pensyarah Kanan Fakulti Bahasa dan Komunikasi, Universiti Perguruan Sultan Idris, Profesor Madya Datuk Paduka Mohd Rosli Saludin (kiri), mantan Naib Canselor Kolej Univerisiti Poly-Tech MARA, Datuk Mohamad Nasir Saludin (tengah) dan Ketua Penyelaras DUN Juasseh, Rosli Omar (kanan) menanam anak pokok bangkong berhampiran Empangan Bangkong. - Foto Amran Yahya
Pensyarah Kanan Fakulti Bahasa dan Komunikasi, Universiti Perguruan Sultan Idris, Profesor Madya Datuk Paduka Mohd Rosli Saludin (kiri), mantan Naib Canselor Kolej Univerisiti Poly-Tech MARA, Datuk Mohamad Nasir Saludin (tengah) dan Ketua Penyelaras DUN Juasseh, Rosli Omar (kanan) menanam anak pokok bangkong berhampiran Empangan Bangkong. - Foto Amran Yahya

Dr Mohd Rosli berkata, ketika itu Penambang Bangkong terkenal kerana daerah ini adalah lokasi penting aktiviti perlombongan emas dan bijih timah selain pengeluaran sawah padi, rotan, damar, akar kayu serta daun sirih.

Katanya, tarikan yang ada di Juasseh menarik ramai golongan raja, pembesar negeri serta pedagang asing singgah di sini dan antara makanan kegemaran mereka ketika itu adalah buah bangkong.

“Pada zaman Penghulu Naam menjadi penghulu pertama Luak Ulu Muar, beliau menghidangkan buah bangkong ini untuk santapan diraja termasuk kepada Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Raja Melewar dan Raja Lenggang yang berkenan singgah di pelabuhan itu.

“Pedagang serta pembesar dari China, India dan Timur Tengah turut dihidangkan dengan buah bangkong yang ketika itu begitu popular dan sinonim dengan Penambang Bangkong,” katanya.

Beliau berkata, buah bangkong yang kelihatan seperti cempedak itu unik kerana tiada isi, sebaliknya hanya mempunyai biji dan bijinya itu boleh dimakan dengan direbus atau dibuat gulai masak lemak.

Katanya, laluan perdagangan berkenaan serta Penambang Bangkong hilang ditelan zaman, malah kini tinggalan pelabuhan itu tidak lagi kelihatan dengan pembinaan empangan dikenali sebagai Empang Bangkong pada 1969.

“Pelabuhan Bangkong dan buah bangkong kini hanya tinggal sejarah. Tiada sebatang pun pokok bangkong di kawasan empangan ini.

“Saya sedang berusaha untuk menanam semula pokok bangkong dan mengkomersialkannya, seterusnya menjadikan ia salah satu tarikan pelancongan di daerah ini,” katanya.

Berita Harian X