Khamis, 11 Oktober 2018 | 12:07pm
ABDUL Raof Ahmad.
ABDUL Raof Ahmad.

Bekalan air di empat daerah pulih sepenuhnya

SHAH ALAM: Bekalan air di empat daerah yang terjejas kerana kerja-kerja penggantian peralatan di Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Semenyih pulih sepenuhnya hari ini.

Empat daerah yang terjejas adalah Petaling, Kuala Langat, Hulu Langat dan Sepang.

Ketua Jabatan Perhubungan Pelanggan & Komunikasi, Pengurusan Air Selangor, Abdul Raof Ahmad berkata, kerja penggantian itu berjalan lancar dan selesai lebih awal daripada yang dijadualkan.

"Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd (SYABAS), ahli kumpulan Air Selangor ingin memaklumkan pelanggan kami bahawa bekalan air di semua kawasan yang terbabit dengan gangguan bekalan air berjadual ekoran kerja-kerja penggantian peralatan di Loji Rawatan Air Sungai Semenyih sudah pulih sepenuhnya.

"Kami ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua pelanggan terbabit atas kerjasama dan kesabaran ketika gangguan bekalan sementara dan kerja-kerja pembaikan itu," katanya.

Pada Ahad lalu, seramai 58,000 pemegang akaun SYABAS di daerah Kuala Langat, Sepang (86,000); Petaling (132,000) dan Hulu Langat (64,000) membabitkan sebanyak 476 kawasan di keempat-empat daerah berdepan gangguan bekalan air bermula jam 9 pagi.

Bagaimanapun, proses pemulihan bekalan air berjalan lancar sejak semalam.

Berita Harian X