Rabu, 26 September 2018 | 2:29pm
KETUA Menteri, Adly Zahari (tengah) mendengar penerangan berkenaan projek perumahan daripada Pengarah Urusan Paduwan Reality, Datuk Seri Poh Geok Seng (kiri) sambil diperhatikan oleh Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Alam Sekitar negeri, Tey Kok Kiew (kanan) pada majlis menandatangi perjanjian Projek Pembangunan Bercampur seluas 150 ekar di Seri Negeri, Ayer Keroh. - Foto Muhammad Zuhairi Zuber

Melaka bina 1,650 lagi RMM

AYER KEROH: Satu lagi kawasan perumahan mampu milik akan dibangunkan di Melaka, sejajar hasrat kerajaan negeri untuk menyediakan kediaman selesa dan murah kepada rakyat.

Projek Rumah Mampu Milik (RMM) Merlimau 1 yang akan dibina berhampiran Politeknik Merlimau, di sini, itu menyediakan 1,650 unit kediaman.

Daripada jumlah itu, 411 rumah teres berharga RM180,000 seunit, diikuti 981 unit rumah teres A (RM280,000 seunit) dan 258 unit rumah teres B, RM450,000 seunit.

Majlis menandatangani perjanjian dimeterai antara kerajaan negeri menerusi Lembaga Perumahan Melaka (LPM) diwakili Ketua Menteri yang juga Pengerusi LPM, Adly Zahari dan Ketua Eksekutif LPM, Salleh Md Dom dengan Pengarah Urusan Paduwan Reality Sdn Bhd, Datuk Seri Poh Geok Seng dan Pengarah syarikat itu, Poh Tin Yap di Seri Negeri, hari ini.

Adly berkata, kerajaan komited meneruskan usaha penyediaan rumah yang selesa dan mampu milik kepada rakyat yang kurang berkemampuan bagi memastikan golongan itu tidak berterusan menyewa atau menumpang di rumah orang lain.

Menerusi komitmen itu, beliau yakin sasaran menyediakan 49,000 unit rumah mampu milik dalam tempoh lima tahun di negeri ini, akan tercapai.

“Tempoh pelaksanaan projek ini adalah dua tahun berdasarkan jaminan diberikan pemaju. Merlimau dipilih sebagai lokasi projek kerana kawasan itu dianggap strategik dan terletak berhampiran sempadan utara Johor,” katanya.

Sementara itu, Adly berkata, kerajaan negeri tiada keperluan untuk menurunkan lagi harga RMM di negeri ini kerana nilai sedia ada bagi rumah itu adalah pada kadar berpatutan.

“Setakat ini, saya sangat berpuas hati dengan harga ditawarkan bagi setiap unit RMM, selain menganggap harga itu sebagai mampu untuk dimiliki penduduk,” katanya.

Berita Harian X