Selasa, 25 September 2018 | 5:17pm
Bob Lokman. - Foto Norzamira Che Noh
Bob Lokman. - Foto Norzamira Che Noh
PERNIAGAAN nasi ayam goreng kampung Bob Lokman di Masjid Al-I'tisam, Taman TTDI Jaya. - Foto Norzamira Che Noh
PERNIAGAAN nasi ayam goreng kampung Bob Lokman di Masjid Al-I'tisam, Taman TTDI Jaya. - Foto Norzamira Che Noh
PERNIAGAAN nasi ayam goreng kampung Bob Lokman di Masjid Al-I'tisam, Taman TTDI Jaya. - Foto Norzamira Che Noh
PERNIAGAAN nasi ayam goreng kampung Bob Lokman di Masjid Al-I'tisam, Taman TTDI Jaya. - Foto Norzamira Che Noh

Bob Lokman berniaga nasi ayam kampung di TTDI Jaya

SHAH ALAM: Selepas enam bulan keluar masuk hospital, Bob Lokman kini beransur pulih dan menjalankan perniagaan nasi ayam goreng kampung di pekarangan Masjid Al-I’tisam, Taman TTDI Jaya, di sini, bermula esok.

Bekas pelawak, pengacara, pelakon dan penulis lirik terkenal Bob atau nama sebenarnya, Mohd Hakim Lokman, 54, kini menggagahkan diri untuk berniaga secara kecil-kecilan untuk menyara kehidupannya sekeluarga.

Bob berkata, beliau kini hanya ke hospital sekali sebulan untuk melakukan pemeriksaan kesihatan dan ia membolehkannya mempunyai masa untuk menjalankan perniagaan.

“Alhamdulillah, kesihatan bertambah baik dan apabila ada orang masjid menawarkan tapak untuk berniaga, saya setuju untuk kembali berniaga selepas lama berehat.

“Pada permulaannya, gerai saya akan beroperasi dari jam 12 hingga 3 petang setiap hari kecuali Isnin dan menawarkan menu ayam kampung goreng berserta kuah kari, sayur goreng dan sambal belacan.

“Ia adalah menu makan tengah hari orang Kelantan dan setiap sepinggan dijual pada harga RM7.50,” katanya kepada NSTP ketika ditemui di Masjid Al Ibtisam, Taman TTDI Jaya, di sini, hari ini.

Bob berkata, menu akan bertambah dari semasa ke semasa mengikut sambutan yang diterima dan beliau akan dibantu anaknya, adik serta anak saudaranya.

Katanya, setiap hari pihaknya akan menyediakan makanan untuk 200 orang dan jika makanan habis awal, masa operasi gerai juga akan disingkatkan.

“Saya ada banyak perancangan dan saya rasa lokasi ini juga strategik kerana terdapat banyak kilang dan pejabat di sekitar kawasan ini. Malah, orang ramai juga sering keluar masuk di sini kerana ia kawasan masjid.

“Jika perniagaan ini mendapat sambutan yang baik, saya bercadang untuk menambah pelbagai menu lain seperti asam pedas serta ayam kurma. Selain itu, waktu operasi juga boleh dipanjangkan,” katanya.

Sementara itu, Bob yang juga penulis lirik lagu Isabella yang dipopularkan kumpulan rock tanah air, Search itu berkata, beliau terpaksa mengambil 13 jenis ubat setiap bulan dengan kos melebihi RM1,000.

Katanya, beliau menjalani rawatan kesihatan di Universiti Teknologi MARA (UiTM) Private Specialist Centre Sungai Buloh dan ubat yang terpaksa diambilnya adalah untuk sakit jantung, paru-paru dan kencing manis.

Berita Harian X