Isnin, 24 September 2018 | 7:02pm
Anggota penguat kuasa KPDNHEP Perak memeriksa sebahagian diesel yang dirampas di Seri Manjung. - Foto Ihsan KPDNHEP
Anggota penguat kuasa KPDNHEP Perak memeriksa sebahagian diesel yang dirampas di Seri Manjung. - Foto Ihsan KPDNHEP

Rampas diesel lebih RM4,000

SERI MANJUNG: Penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Perak merampas 2,000 liter diesel bernilai RM4,600 di sebuah premis di sini, Khamis lalu.

Dalam operasi kira-kira jam 9.30 pagi itu, sebuah lori dan dua tangki gentian yang menjadi tempat simpanan diesel di premis terbabit turut disita.

Rampasan dalam operasi oleh tujuh anggota penguat kuasa KPDNHEP itu dianggar bernilai RM57,600.

Ketua Pegawai Penguat kuasa Daerah KPDNHEP Manjung, Mohamad Suhaimi Mohamad Nor, berkata seorang lelaki berusia 44 tahun yang juga pemilik premis turut ditahan.

“Operasi dibuat hasil aduan dan risikan berhubung penyelewengan diesel yang dipercayai aktif antara tiga hingga lima bulan lalu.

“Pemantauan dua minggu mendapati premis berkenaan menerima bekalan dari pembekal sekitar negeri ini dan disimpan sementara sebelum dijual kepada kilang dan industri di daerah ini serta Teluk Intan.

“Siasatan awal mendapati syarikat itu pernah dikenakan tindakan pada 2013 kerana memiliki diesel tanpa lesen atau kebenaran sah Pengawal Bekalan Malaysia.

“Syarikat itu pernah dikenakan tindakan menerima bekalan diesel tidak sah dari pembekal atau pemborong yang mempunyai lesen di sekitar Perak,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Dalam kes terbaru itu, Mohamad Suhaimi berkata, syarikat berkenaan dipercayai menjual diesel dan produk campuran diesel kepada kilang atau industri di daerah Hilir Perak dan Manjung.

Katanya, syarikat itu didapati tidak pernah mendapat kebenaran Jabatan Bomba dan Penyelamat mengenai aspek keselamatan memandangkan ia adalah bahan petroleum mudah terbakar.

“Kes disiasat mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961 dan Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974.

“Ini adalah tindakan kes pertama oleh KPDNHEP Cawangan Manjung membabitkan barang kawalan diesel bagi Januari 2017 sehingga 19 September lalu,” katanya.

Berita Harian X