Jumaat, 21 September 2018 | 6:23pm
JO Anna Sue Henley Rampas (tengah) menyaksikan Penyerahan Sijil Pengiktirafan Muzium Pakaian Mini Tradisional Orang Asal Malaysia yang pertama oleh Pengurus Pejabat Buku Rekod Malaysia (MBOR), Lee Pooi Leng (kiri) kepada Pengarah Galeri Chanteek Borneo, Anne Antah (kanan) di Galeri Chanteek Borneo, Tamparuli. - Foto Recqueal Raimi
JO Anna Sue Henley Rampas (tengah) menyaksikan Penyerahan Sijil Pengiktirafan Muzium Pakaian Mini Tradisional Orang Asal Malaysia yang pertama oleh Pengurus Pejabat Buku Rekod Malaysia (MBOR), Lee Pooi Leng (kiri) kepada Pengarah Galeri Chanteek Borneo, Anne Antah (kanan) di Galeri Chanteek Borneo, Tamparuli. - Foto Recqueal Raimi

Galeri Chanteek Borneo terima pengiktirafan MBOR

TUARAN: Pusat pameran patung mini berpakaian tradisi, Galeri Chanteek Borneo, Tamparuli, di sini, hari ini mendapat pengiktirafan Malaysia Book of Records (MBOR) sebagai Muzium Pakaian Mini Tradisional Orang Asal Malaysia pertama.

Pencapaian itu bukan sahaja pada tahap rekod terbaharu, namun lebih 300 patung mini berpakaian tradisi itu menjadi antara inisiatif pembelajaran budaya etnik di negeri ini.

Pengiktirafan itu disampaikan Pengurus Pejabat MBOR Malaysia, Lee Pooi Leng kepada Pengarah Galeri Chanteek Borneo, Anne Antah dan disaksikan Setiausaha Politik kepada Ketua Menteri Sabah, Jo Anna Sue Henley Rampas galeri berkenaan.

Jo Anna berkata, usaha pusat pameran itu adalah langkah proaktif memperkenalkan budaya dan tradisi etnik di Sabah melalui penggunaan kaedah yang lebih mudah serta menyeronokkan.

“Saya diberi peluang untuk masuk ke dalam muzium dan apa saya dapati, ia sangat menyeronokkan apabila melihat patung mini berpakaian tradisional berserta pengenalan etnik masing-masing.

“Malah, dalam muzium juga, patung mini digambarkan dengan budaya setiap etnik yang dilengkapi aksesori pakaian serta peralatan tradisional,” katanya.

Sementara itu, Anne berkata, idea mewujudkan muzium itu tercetus apabila melihat generasi baharu kurang mengetahui mengenai identiti etnik di negeri ini.

“Malah, pengunjung dari luar negeri dan negara masih kurang mengetahui berkenaan semua identiti etnik ini.

“Pada masa sama, melihat patung ‘barbie’ atau permainan kegemaran kanak-kanak itu, menyebabkan idea ini terlintas di fikiran untuk melakukan penyampaian ilmu dari segi pemakaian pakaian tradisional patung mini,” katanya.

Anne berkata, pihaknya turut menjalankan perniagaan produk secara talian bermula hari ini melalui www.shopinborneo.com melalui kerjasama Kinabalu Bonanza.

Berita Harian X