Isnin, 17 September 2018 | 2:49pm
YUSUF Mohamad menemani dan menguruskan isterinya, Rosnani Jusoh yang sedang mendapatkan rawatan kerana menderita penyakit Sistemik Lupus Eritematosus (SLE) atau Lupus di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA). - Foto Ainal Marhaton Abd Ghani
YUSUF Mohamad menemani dan menguruskan isterinya, Rosnani Jusoh yang sedang mendapatkan rawatan kerana menderita penyakit Sistemik Lupus Eritematosus (SLE) atau Lupus di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA). - Foto Ainal Marhaton Abd Ghani

Pemasang kanopi berhenti kerja urus isteri derita SLE

KUANTAN: Seorang pemasang kanopi terpaksa berhenti kerja bagi menguruskan isterinya yang menderita penyakit Sistemik Lupus Eritematosus (SLE) sejak enam tahun lalu.

Yusuf Mohamad, 46, berkata keputusan itu diambil bagi memudahkan dia menguruskan isterinya, Rosnani Jusoh, 40, yang kerap keluar masuk hospital sejak menghidap penyakit itu.

“Hospital sudah menjadi rumah kedua saya kerana perlu berada di sisinya sepanjang masa untuk menguruskan makan minum dan keperluan peribadinya kerana dia tidak berdaya melakukannya sendirian disebabkan badannya sangat lemah,” katanya kepada NSTP ketika ditemui di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA)di sini, hari ini.

SLE adalah penyakit kronik ‘auto-imun’ yang mana sistem daya tahan badan menjadi bercelaru dan mula melawan tisu badan sendiri.

Selain mengidap SLE, Yusuf berkata, Rosnani baharu sahaja disahkan menghidap penyakit buah pinggang dan perlu menjalani rawatan dialisis.

“Saya tidak sanggup meninggalkannya sendirian ketika mendapatkan rawatan sama ada di Hospital Kemaman atau HTAA biarpun terpaksa kehilangan upah antara RM700 dan RM800 sebulan.

“Saya kini tiada pendapatan dan hanya bergantung kepada sumbangan rakan dan saudara mara yang sudi membantu. Saya sebelum ini pernah membuka gerai makan bersama isteri di Kampung Fikri, Kemaman tetapi terpaksa menutup perniagaan selepas isteri disahkan menghidap SLE.

Pasangan itu mempunyai seorang anak lelaki, Yusri Nur Hafiz, 15, yang belajar di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Geliga, Kemaman, Terengganu dan kini tinggal sementara bersama ibu Rosnani di Kampung Fikri, Kemaman.

Mengimbas kembali saat ketika isterinya disahkan menghidap SLE pada tahun 2012, Yusuf berkata, Rosnani demam selama seminggu sebelum mendapatkan rawatan di Hospital Kemaman.

“Isteri kemudian diminta rujuk ke HTAA untuk membuat pemeriksaan lanjut termasuk menjalani ujian darah sebelum doktor mengesahkan dia menghidap SLE. Sakitnya menyerang tidak tentu masa malah bahagian kiri tubuhnya kini sudah tidak kuat kerana pernah diserang strok kecil sekali gus menjadikan tubuhnya lemah dan sukar bergerak ,” katanya.

Rosnani adalah pemegang kad Orang Kurang Upaya (OKU) dan permohonan untuk bantuan bulanan juga baru sahaja diluluskan oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Orang ramai yang ingin menyumbang boleh menyalurkannya ke akaun CIMB 7056747443 (Yusuf Mohamad) atau hubungi 019-9239519.

Berita Harian X