Jumaat, 7 September 2018 | 4:15pm
PROJEK benteng pemecah ombak giat dijalankan Kampung Tengah, Mengabang Telipot menangani isu tebing pantai yang bakal terhakis menjelang musim terkujuh yang akan tiba. - Foto Ghazali Kori
PROJEK benteng pemecah ombak giat dijalankan Kampung Tengah, Mengabang Telipot menangani isu tebing pantai yang bakal terhakis menjelang musim terkujuh yang akan tiba. - Foto Ghazali Kori

Bilakah masalah hakisan pantai akan berakhir?

KUALA NERUS: Masalah hakisan pantai yang membelenggu penduduk di kawasan Mengabang Telipot di sini sejak lebih 10 tahun lalu tidak berkesudahan apabila penduduk terus dihambat kebimbangan apatah lagi musim tengkujuh bakal bermula tidak lama lagi.

Sebelum ini, hanya Pantai Tok Jembal dan pantai di Universiti Malaysia Terengganu (UMT) yang musnah teruk disebabkan hakisan membabitkan daerah ini, namun kini mula merebak ke Kampung Tengah, Kampung Kolam dan Kampung Tanjung Gelam apabila lebih 100 meter kawasan pasir pantai ditelan ombak.

Walaupun ada usaha daripada kerajaan sama ada negeri dan Pusat dengan membina tambakan batu menghalang hakisan selain membina benteng pemecah ombak namun masalah sama tetap berlaku.

Dalam kejadian terbaru, tiga bot nelayan yang diletakkan di pangkalan Kampung Tengah di sini dihanyutkan ombak akibat ribut kira-kira jam 4 pagi semalam dengan kerugian dianggarkan bernilai hampir RM10,000.

Ketika ini, projek membina benteng pemecah ombak sedang dilakukan di kawasan pantai Mengabang Telipot bertujuan untuk menghalang hakisan namun komuniti nelayan di kampung berkenaan melihat kedudukan benteng itu tidak sesuai kerana ia dibina di tepi pangkalan dan bukannya di hadapan pangkalan nelayan.

Ketua Komuniti Perikanan Mengabang Telipot, Abdullah Abdul Ghani, berkata projek yang bermula sejak awal Julai lalu itu tetap diteruskan walaupun tidak dipersetujui ramai pihak.

"Nelayan tidak bersetuju dengan pelaksanaan projek benteng pemecah ombak ini kerana ia bukan sahaja tidak munasabah malah bakal menjadi projek membazir.

"Benteng pemecah ombak seharusnya dibina di kawasan tengah untuk melindungi pangkalan ini tetapi pihak berkenaan membuat benteng di bahagian tepi sekali gus gagal menghalang hakisan daripada terus berlaku.

"Kami ada membuat permohonan untuk membuat benteng pemecah ombak sepanjang 50 meter lagi bagi melindungi pangkalan ini dan setakat ini, saya tidak tahu bagaimana status permohonan itu," katanya.

Sementara itu, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Terengganu sedang menimbang permohonan komuniti nelayan di kawasan Mengabang Telipot yang meminta penambahan 50 meter lagi benteng pemecah ombak di pangkalan Kampung Tengah.

Pengarahnya, Ir Idrus Ahmad berkata, pihaknya sedia maklum dengan permintaan penduduk setempat dan perkara itu sedang dalam perhatian.

“Ia agak rumit dan mengambil masa kerana ada perubahan daripada bentuk asal dan perlu mematuhi beberapa prosedur termasuk mendapat kelulusan daripada Kementerian Kewangan sebelum ia boleh dilaksanakan.

“Kita faham kegusaran dan kebimbangan penduduk setempat terutama apabila menjelang musim tengkujuh namun JPS sebagai agensi pelaksana bagi projek berkaitan hakisan pantai sentiasa cuba mencari alternatif terbaik untuk mengatasi masalah ini,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Menurut Idrus, perancangan dan reka bentuk dilaksanakan oleh pakar yang dilantik oleh JPS peringkat pusat selepas mendapat laporan kejadian daripada JPS Terengganu.

“Bagaimanapun, dalam kes-kes kecil setempat, tindakan segera dibuat JPS Terengganu namun ia masih mendapat pandangan dan ulasan pakar-pakar JPS di peringkat pusat,” katanya.

Ketika ini, terdapat tiga projek pemecah ombak sedang dibina di Terengganu iaitu di Pantai Tok Jembal, Kuala Nerus; muara Sungai Besut, Besut dan muara Sungai Paka di Dungun.

Bagi projek di Pantai Tok Jembal pula, sebanyak RM80 juta diperuntukkan untuk melaksanakan projek pembinaan benteng pemecah ombak bermula dari Pantai Tok Jembal hingga ke Kampung Tanjung Gelam.

Di muara Sungai Besut, projek membabitkan pembinaan 1,300 meter benteng pemecah ombak di sebelah utara dan 1,500 meter di sebelah selatan dijangka siap menjelang 2020 dengan kos RM224 juta.

Di muara Sungai Paka pula, projek yang bermula Mei lalu dengan kos RM132 juta itu dijangka mengambil masa selama tiga tahun untuk disiapkan.

Berita Harian X