Selasa, 4 September 2018 | 11:52am
BARANGAN dalam rumah habis basah terkena air hujan selepas bumbung rumah yang tercabut akibat dilanda ribut di Kampung Star Baru, Gua Musang petang semalam. - Foto Ramli Ibrahim
BARANGAN dalam rumah habis basah terkena air hujan selepas bumbung rumah yang tercabut akibat dilanda ribut di Kampung Star Baru, Gua Musang petang semalam. - Foto Ramli Ibrahim

Enam rumah tercabut bumbung akibat ribut

GUA MUSANG: “Pak cik melaungkan azan sekuat hati apabila rumah bergoyang dan bergegar sebelum bumbung tercabut,” kata Mat Jusoh Yaacob, mangsa ribut di Kampung Star Baru, di sini.

Enam rumah termasuk kediaman Mat Jusoh, 68, tercabut bumbung dan berpuluh lagi mengalami kerosakan dalam kejadian ribut dan hujan lebat, pada jam 6 petang semalam.

Beliau berkata, kejadian itu berlaku dalam tempoh setengah jam sahaja menyebabkan dia bersama isteri, Bidah Umat, 63, terpaksa berlari keluar mencari perlindungan.

“Ketika itu, pak cik dan isteri sedang berehat di ruang tamu. Tiba-tiba rumah bergoyang dan bergegar.

“Selepas itu pak cik lihat bumbung rumah tercabut menyebabkan air hujan membasahi keseluruhan bahagian di dalam rumah,” katanya ketika ditemui di sini, hari ini.

Mat Jusoh berkata, dia hanya tinggal bersama isteri di rumah itu kerana enam anak sudah berumah tangga dan tinggal di luar Kelantan.

“Tak tahulah bila pak cik dapat membaiki semula bumbung yang tercabut ini kerana ia memerlukan perbelanjaan yang banyak,” katanya.

Seorang lagi mangsa ribut, Ayub Said, 51, pula berkata, kejadian ribut luar biasa itu berlaku hanya dalam tempoh setengah jam sebelum hujan lebat berterusan hingga jam 9 malam.

Beliau berkata, ini kejadian pertama sejak lebih 25 tahun keluarganya tinggal di situ.

Katanya, ketika kejadian, ada bumbung berterbangan dibawa angin hingga menghempap rumah jiran berdekatan.

“Kami bersyukur kerana semuanya terselamat walaupun banyak barang keperluan di dalam rumah, rosak.

“Kini mangsa ribut, terutama rumah yang tercabut bumbung terpaksa menumpang tinggal di rumah saudara,” katanya.

Berita Harian X