Isnin, 27 Ogos 2018 | 4:38pm
TIMBALAN Menteri Sumber Manusia, Datuk Mahfuz Omarmenyampaikan cek Faedah Pengurusan Mayat (FPM) kepada Adibah Ahmad di Kajang, hari ini. - Foto Aziah Azmee
TIMBALAN Menteri Sumber Manusia, Datuk Mahfuz Omarmenyampaikan cek Faedah Pengurusan Mayat (FPM) kepada Adibah Ahmad di Kajang, hari ini. - Foto Aziah Azmee

Balu ADUN Seri Setia terima faedah PERKESO

KAJANG: Balu Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seri Setia yang meninggal dunia 2 Ogos lalu terharu menerima cek Faedah Pengurusan Mayat (FPM) berjumlah RM2,000 di sini, hari ini.

Sumbangan cek daripada Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) itu disampaikan Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Mahfuz Omar.

Selain itu, Adibah Ahmad, 56 yang juga balu kepada Allahyarham Prof Dr Shaharuddin Badaruddin turut layak menerima pencen penakat seumur hidup bernilai RM1,986.60.

Adibah berkata, walaupun dia dan anak tunggalnya sedih kehilangan ketua keluarga, namun menganggapnya sebagai takdir.

"Saya bersyukur dan terkejut ketika menerima panggilan dari PERKESO kerana tidak menyangka malah arwah tidak pernah bercerita mengenainya.

"Apapun saya akan gunakan wang ini sebaik mungkin untuk masa depan kami sekeluarga," katanya ketika kunjungan PERKESO di kediamannya.

Dalam pada itu, Mahfuz berkata, setiap pekerja perlu memaklumkan ahli keluarga masing-masing mengenai caruman PERKESO yang dicarum.

"Pekerja perlu memberitahu waris supaya mudah menuntut faedah ditawarkan PERKESO jika berlaku kematian atau kejadian tidak diingini kerana masih ada keluarga yang tidak tahu mengenainya," katanya.

Yang turut hadir, Timbalan Ketua Eksekutif Pengurusan PERKESO Mohd Roshdi Yassin.

Shaharuddin meninggal dunia akibat kanser kolon.

Berita Harian X