Jumaat, 24 Ogos 2018 | 8:59pm

137 titik panas, jerebu makin teruk

KUCHING: Pembakaran terbuka di Kalimantan, Indonesia semakin menggila meletakkan Sarawak dalam situasi bersedia untuk berdepan sebarang kemungkinan jerebu semakin buruk berikutan peningkatan 127 titik panas, semalam, berbanding 13 titik panas yang direkodkan pada 20 Ogos lalu.

Walaupun Indeks Pencemaran Udara (IPU) membabitkan 12 kawasan utama di negeri ini tidak menunjukkan bacaan tidak sihat, namun risiko jerebu rentas sempadan masih wujud sekiranya bilangan titik panas di wilayah negara jiran berkenaan tidak menunjukkan penurunan dalam tempoh terdekat.

Cerapan daripada Pusat Meteorologi Khas ASEAN (ASMC), mendapati pertambahan 124 titik panas dalam tempoh empat hari itu banyak berlaku di kawasan Kalimantan Barat, Kalimantan Tengah dan Kalimantan Selatan.

Dianggarkan hampir 100 titik panas dikesan dalam kawasan Kalimantan Barat sahaja, sekali gus membawa jerebu rentas sempadan terutama ke kawasan Kuching dan kawasan sekitarnya.

IPU di sembilan kawasan utama di negeri ini merekodkan bacaan sederhana pada jam 12 tengah hari tadi.

Dapatan IPU Jabatan Alam Sekitar (JAS), mencatatkan IPU di Kuching, Samarahan, Sri Aman, Sarikei, Sibu, Mukah, Bintulu, Miri dan ILP Miri , berada dalam lingkungan 51 hingga 74.

Manakala, Limbang, Samalaju, dan Kapit, mencatatkan bacaan sihat iaitu antara 31 hingga 41, dalam tempoh sama.

Walaupun IPU di sembilan kawasan belum sampai ke tahap tidak sihat, namun kesan jerebu dilihat konsisten berada pada bacaan sederhana dengan bacaan merekodkan pertambahan dan penurunan yang tidak jauh berbeza bagi setiap jam bermula jam 7 pagi tadi.

PENINGKATAN 127 titik panas yang dikesan di Kalimantan, undang risiko jerebu lebih teruk di beberapa kawasan di Sarawak. - Foto Nadim Bokhari
PENINGKATAN 127 titik panas yang dikesan di Kalimantan, undang risiko jerebu lebih teruk di beberapa kawasan di Sarawak. - Foto Nadim Bokhari
Berita Harian X