X
Ahad, 19 Ogos 2018 | 6:06pm

3 kawasan catat IPU sederhana di Sabah

KOTA KINABALU: Tiga kawasan di negeri ini masih mencatat Indeks Pencemaran Udara (IPU) sederhana manakala Sandakan mencatatkan penurunan kepada kategori baik berbanding semalam, setakat jam 3 petang ini.

Berdasarkan laman web Jabatan Alam Sekitar, IPU di Sabah, kawasan Kota Kinabalu mencatat kadar bacaan tertinggi iaitu 67, diikuti Kimanis (65); Keningau (62); Tawau (51) dan Sandakan (49).

Bacaan IPU antara 0 dan 50 dikategori sebagai baik, 51 hingga 100 (sederhana), 101 hingga 200 (tidak sihat), 201 hingga 300 (sangat tidak sihat) dan 300 ke atas (bahaya).

Pengarah Jabatan Alam Sekitar (JAS) Sabah, Tunku Khalkausar Tunku Fathahi, berkata IPU di negeri ini masih tidak membimbangkan dengan bacaan pada tahap baik dan sederhana.

Katanya, walaupun arah angin bertiup dari kawasan titik panas di Kalimantan, Indonesia ke arah pantai barat Sabah, pergerakannya di sebelah atas Bahagian Kudat, membantu mengurangkan kemungkinan jerebu di negeri ini.

“Namun apa yang membimbangkan ketika ini ialah punca dalaman. Berdasarkan rekod terkini, JAS mengesan tiga titik panas di daerah Keningau dan masing-masing satu di Nabawan dan Kudat.

“Kita percaya titik panas yang dikesan ini adalah disebabkan pembakaran terbuka atau hutan dan semak yang terbakar akibat cuaca panas,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Tunku Khalkausar berkata, laporan Jabatan Meteorologi Malaysia menyebut ada beberapa pertambahan kawasan yang tidak mencatatkan hujan melebihi tujuh hari berturut-turut.

Katanya, antara kawasan yang dikesan ialah Kota Marudu dengan 10 hari tanpa hujan, sembilan hari di Nabawan, lapan hari di Kudat, Kota Kinabalu, Tuaran-Mesilau dan Pulau Banggi serta masing-masing tujuh hari di Ranau dan Tuaran.

Sementara itu, jurucakap Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata sebanyak 82 panggilan kecemasan membabitkan kebakaran belukar diterima sejak 12 Ogos hingga semalam.

Antara lokasi yang paling banyak laporan kebakaran belukar adalah daerah Ranau dengan 18 kes diikuti Keningau 14 kes, Kota Marudu 13 kes dan Kudat, enam kes.

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X