Ahad, 19 Ogos 2018 | 11:43am
TAN Hong Pin
TAN Hong Pin

2 tapak pelupusan sanitari dinaiktaraf

ISKANDAR PUTERI: Dua tapak pelupusan sanitari di negeri ini dinaiktaraf kepada tapak pelupusan bersepadu yang bakal merangkumkan sistem dan kemudahan teknologi tinggi berkonsepkan ‘Waste to Energy’ (WTE), ‘Pyrolisis’ dan ‘Anaerobic Digester’ (AD).

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Sains dan Teknologi negeri, Tan Hong Pin, berkata teknologi itu akan dilaksanakan di Tapak Pelupusan Sanitari (TPS) Seelong dan TPS Tanjung Langsat.

“Kerajaan negeri berpendirian untuk menuju kepada satu sistem pelupusan sisa pepejal yang efektif melalui konsep WTE dengan mengangkat nilai kelestarian apabila sampah dilupuskan akan diproses dan hasilnya menjadi tenaga.

“Pelaksanaan teknogi berkenaan bagi memenuhi dan menampung keperluan semasa serta menghindar negeri ini daripada krisis sisa pepejal,” katanya pada sesi soal jawab pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Ng Yak Howe (PH-Bentayan) mengenai rancangan kerajaan menambah baik pengurusan sisa pepejal di Johor dengan memanfaatkan teknologi terkini.

Hong Pin berkat, pengurusan sisa pepejal kini berada di bawah tadbir urus dan bidang kuasa Kerajaan Persekutuan.

“Kerajaan Persekutuan semenangnya mempunyai perancangan untuk memperkasa sisa pengurusan sisa pepejal di Malaysia khususnya di Johor,” katanya.

Menurutnya dua pendekatan dilaksanakan iaitu pelupusan sampah dan penghasilan tenaga terbabit digabungkan.

“Hasilnya kemudian dijual dan digunakan untuk menjana industri dan memberi manfaat kepada kawasan dan penduduk setempat.

“Sebagai tambahan, konsep WTE adalah sistem pelupusan sisa pepejal yang mampan dan mampu menjana pendapatan, malah mengurangkan tanggungan kerajaan negeri dalam mengurus sisa pepejal,” katanya.

Katanya, pelaksanaan konsep ini dilihat sebagai pendekatan bersifat jangka panjang dalam mengatasi isu kritikal dan mendesak di tapak pelupusan sedia ada seperti pencemaran air larut resap, pencemaran bau, kebakaran akibat cuaca, rungutan awam dan kesihatan masyarakat setempat.

Berita Harian X