Sabtu, 18 Ogos 2018 | 4:10pm
ULAR sawa yang ditemui penduduk berjaya ditangkap di Kampung Kaki Bukit, Batu Tujuh. - Foto ihsan APM
ULAR sawa yang ditemui penduduk berjaya ditangkap di Kampung Kaki Bukit, Batu Tujuh. - Foto ihsan APM

Ular di Baling mungkin yang terpanjang di dunia

BALING: Seekor ular sawa seberat 100 kilogram sepanjang 10 meter atau 32.8 kaki yang berjaya ditangkap anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) pagi tadi mungkin yang terpanjang di dunia.

Ular sawa berkenaan ditemui oleh seorang penduduk kampung di tepi jalan Kampung Kaki Bukit, Batu Tujuh di sini, ketika dalam perjalanan pulang ke rumahnya jam 3 pagi.

Pegawai APM Baling, Leftenan (PA) Mohd Faizol Ab Aziz, yang mengesahkan saiz ular berkenaan berkata, pihaknya menerima panggilan jam 3.15 pagi dan sampai ke lokasi 10 minit kemudian.

“Ular sawa ini dipercayai keluar mencari makanan dari hutan yang berdekatan.

Anggota APM mengambil masa 30 minit untuk menangkapnya kerana ia bertindak agresif dan besar.

“Setakat ini, ular sawa berkenaan yang terbesar berjaya ditangkap oleh anggota APM di daerah ini,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Sebelum ini pada 12 April 2016, seekor ular sawa batik sepanjang 7.5 meter dengan berat 250 kilogram yang menjadi tumpuan dunia selepas ditangkap di kawasan tapak pembinaan lebuh raya di Jalan Paya Terubong/Relau di Pulau Pinang.

Ular berkenaan menarik perhatian media antarabangsa apabila didakwa sebagai ular sawa terpanjang di dunia selepas ukuran awal mendakwa panjangnya mencecah 12 meter namun pemeriksaan lanjut pihak berkuasa mendapati panjang reptilia itu hanya 7.5 meter.

Menurut akhbar The Guardian, Guinness Book of World Records mencatatkan seekor ular sawa batik di Missouri, Amerika Syarikat yang dinamakan Medusa sebagai ular terpanjang di dunia dengan ukuran 7.67 meter pada 2011 dan masih kekal memegang rekod berkenaan.

Sementara itu, Mohd Faizol berkata ular yang ditangkap pagi tadi akan diserahkan kepada Jabatan Perlindungan Hidupan Liar Dan Taman Negara (PERHILITAN ) Baling.

“Saya nasihat orang awam berhati-hati dan sekiranya ada kes kecemasan supaya menghubungi APM ditalian 04-4701626 atau talian kecemasan 999,” katanya.

Berita Harian X