Rabu, 15 Ogos 2018 | 5:14pm
AHMAD Faiza Ahmad Fathillah terpilih sebagai pemenang utama pertandingan fotografi anjuran Majlis Perbandaran Port Dickson (MPPD) di Port Dickson, hari ini. - Foto Mohd Khidir Zakaria
AHMAD Faiza Ahmad Fathillah terpilih sebagai pemenang utama pertandingan fotografi anjuran Majlis Perbandaran Port Dickson (MPPD) di Port Dickson, hari ini. - Foto Mohd Khidir Zakaria

Jurugambar bebas menang RM3,000

PORT DICKSON: Gambar kegiatan nelayan ketika matahari terbenam oleh seorang jurugambar bebas dari Damansara, Kuala Lumpur, Ahmad Faiza Ahmad Fathillah terpilih sebagai pemenang utama pertandingan fotografi anjuran Majlis Perbandaran Port Dickson (MPPD) di sini, hari ini.

Ahmad Faiza, 35, membawa pulang hadiah RM3,000, sijil penyertaan dan plak apabila gambarnya berjaya memikat hati juri, sekali gus menewaskan 151 peserta lain.

“Alhamdulillah. Ini kali pertama saya menyertai pertandingan fotografi anjuran MPPD. Sebenarnya, ini kemenangan kali kelima sepanjang saya menyertai pertandingan fotografi.

“Pembabitan saya dalam bidang fotografi bermula secara tidak sengaja ketika aktif mendaki dan menjelajah. Saya selalu berada di tempat yang tinggi dan melihat pemandangan yang cantik,” katanya.

Tempat kedua milik Hoo Yoon Onn, 45, yang membawa pulang RM2,000, manakala ketiga dimenangi Mohd Samsi Sumairi, 49 , (RM1,000) dan Muhammad Farhan Che Hassan dari Port Dickson di tempat keempat (RM700).

Sementara itu, Yang Dipertua MPPD, Zamri Mat Kasim, berkata pihaknya menerima sebanyak 171 penyertaan dari seluruh negara untuk edisi kali ini.

Katanya, objektif pertandingan ialah untuk mendapatkan foto menarik sekitar Port Dickson dan akan dijadikan sebagai ‘trade mark’ untuk daerah peranginan ini.

“Gambar pemenang akan dipamerkan di Galeri Pelancongan di Dataran Teluk Kemang manakala gambar peserta lain disediakan untuk tatapan orang ramai di Terminal Bas Port Dickson,” katanya.

Berita Harian X