X
Rabu, 15 Ogos 2018 | 2:46pm
MENTERI Tenaga, Teknologi, Sains, Perubahan Iklim dan Alam Sekitar, Yeo Bee Yin (tiga dari kanan) melakukan tinjauan kebakaran tanah gambut di Kampung Johan Setia, Jalan Kebun, pagi tadi. - Foto Faiz Anuar
MENTERI Tenaga, Teknologi, Sains, Perubahan Iklim dan Alam Sekitar, Yeo Bee Yin (tiga dari kanan) melakukan tinjauan kebakaran tanah gambut di Kampung Johan Setia, Jalan Kebun, pagi tadi. - Foto Faiz Anuar

Pembenihan awan atasi kebakaran tanah gambut di Johan Setia

SHAH ALAM: Jabatan Meteorologi Malaysia (JMM) dengan kerjasama Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) akan menjalankan operasi pembenihan awan (OPA) bagi memadamkan kebakaran tanah gambut di Kampung Johan Setia, Jalan Kebun, di sini.

Menteri Tenaga, Teknologi, Sains, Perubahan Iklim dan Alam Sekitar, Yeo Bee Yin, berkata ia diharap dapat dilakukan petang ini dalam usaha memadam kebakaran tanah gambut seluas 50 hektar yang berlarutan sejak tiga hari lalu.

“Saya sudah menghubungi Menteri Pertahanan (Mohamad Sabu) untuk segera menggerakkan pesawat tentera atau aset berkaitan dalam melaksanakan OPA dan berharap keadaan cuaca serta awan mengizinkan usaha ini.

“Lokasi kebakaran ini terletak di sekitar kawasan perumahan. Kita khuatir asap yang banyak menyebabkan penduduk rasa tidak selesa, sekali gus menyebabkan kesihatan mereka terjejas,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas melakukan tinjauan kebakaran tanah gambut itu, pagi tadi.

Hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Kandis, Mohd Zawawi Ahmad Mughni dan Ketua Bomba dan Penyelamat Zon Klang, Samsol Maarif Saibani.

Bee Yin berkata, seramai 40 anggota tambahan Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) serta agensi keselamatan lain ditugaskan bagi memadamkan kebakaran itu.

“Kita perlu meresapkan air ke dalam tanah. Kebakaran tanah gambut sukar dikawal dan dipadamkan kerana apinya marak di bawah permukaan tanah.

“Punca kebakaran juga agak sukar dikesan untuk dipadamkan sepenuhnya,” katanya.

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X