Ahad, 12 Ogos 2018 | 12:40pm
FOTO hiasan.

Tangkap ular sawa telan anak lembu

BALING: Kehilangan haiwan peliharaan penduduk sejak kebelakangan ini akhirnya terjawab apabila seekor ular sawa batik berjaya ditangkap di Kampung Lela, Kuala Pegang, pagi ini.

Ular sawa batik yang kekenyangan selepas menelan anak lembu tidak mampu bergerak di dalam parit belakang rumah seorang penduduk.

Dalam kejadian itu, seorang penduduk Aliasyaq Ismail, 61, terdengar bunyi bising lembu di belakang rumahnya pada kira-kira jam 6.30 pagi selepas pulang dari solat Subuh di surau kampungnya.

Menurutnya, dia terus bergegas ke kawasan itu namun terkejut melihat ular sawa sedang menelan anak lembu di dalam parit kira-kira 20 meter dari rumahnya.

"Anak lembu jantan berusia dua minggu itu dijaga dengan baik dan tidak menyangka menjadi makanan ular sawa berkenaan.

"Sebelum ini, kambing penduduk juga menjadi mangsa reptilia itu yang keluar mencari makanan sehingga ke kawasan rumah penduduk," katanya ketika dihubungi hari ini.

Sementara itu, Pegawai Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Baling, Leftenan (PA) Mohd Faizol Ab Aziz, berkata, pihaknya menerima panggilan jam 7.50 pagi dan sampai di lokasi 20 minit kemudian.

Beliau berkata, empat anggota bergegas ke lokasi dan mendapati seekor ular sawa batik panjang enam meter dan berat 50 kilogram (kg) kekenyangan selepas menelan seekor anak lembu.

"Ular itu kekenyangan dan tidak mampu bergerak ke dalam hutan yang berdekatan lalu pengadu menghubungi APM untuk bantuan kecemasan.

"Anggota APM mengambil masa kira-kira 30 minit untuk menangkap ular sawa batik dan akan menyerahkannya kepada Jabatan Perlindungan Hidupan Liar Dan Taman Negara (PERHILITAN) Baling.

"Saya nasihat orang awam berhati-hati dan sekiranya ada kes kecemasan supaya menghubungi APM di talian 04-4701626 atau talian kecemasan 999," katanya.

Berita Harian X