Jumaat, 10 Ogos 2018 | 7:40pm

PROLINTAS anjur sukan GCE Duathlon 2018 berskala besar

KUALA LUMPUR: Buat pertama kali di Malaysia, Kumpulan Syarikat Prolintas (PROLINTAS) akan menganjurkan acara sukan berskala besar yang diberi nama GCE Duathlon 2018 di atas lebuh raya.

Acara bersempena sambutan Hari Malaysia itu akan diadakan di Lebuhraya Koridor Guthrie (GCE), Selangor, pada 16 September depan.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Syarikat PROLINTAS, Datuk Mohammad Azlan Abdullah, berkata pihaknya atlet dan peminat sukan berbasikal serta larian sama ada dari dalam dan luar negara akan menyertai acara itu.

Katanya, dengan jajaran sepanjang 55.4 km dari Bukit Jelutong ke persimpangan Rawang, GCE adalah satu laluan popular bagi peminat sukan berbasikal dan larian, terutama pada hujung minggu.

“Oleh itu, kami mengambil inisiatif dengan menganjurkan acara duathlon ini, sekali gus memberikan platform terbaik untuk acara berbasikal dan larian di lebuh raya dengan selamat,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

GCE Duathlon 2018 menyasarkan 1,000 hingga 1,500 penyertaan daripada pelbagai lapisan umur dan masyarakat.

Perlumbaan akan bermula dan berakhir di Plaza Tol Bukit Jelutong, di mana peserta akan memulakan perlumbaan dengan larian, seterusnya berbasikal dan berlari semula sehingga ke garisan penamat.

GCE akan ditutup sepenuhnya bermula jam 3 pagi hingga jam 2 petang pada hari acara berlangsung.

Mohammad Azlan berkata, PROLINTAS juga mengambil kesempatan untuk menyalurkan sebahagian daripada kutipan yuran penyertaan kepada MERCY Malaysia yang dipilih untuk menjadi ‘rakan amal’ acara tahun ini.

Sementara itu, GoSportz yang juga agensi pengurusan acara itu mengakui amat teruja untuk bekerjasama dengan PROLINTAS bagi menjayakan acara sukan yang unik dan bakal memberi inspirasi kepada orang awam ini.

Pengarah Perlumbaan GoSportz, Albertt Leong, berkata GCE Duathlon 2018 adalah peluang terbaik buat atlet untuk menyertai acara sukan yang merangkumi aktiviti berbasikal dan larian sama ada bagi tujuan riadah atau pertandingan.

“Acara ini terdapat dalam tiga kategori pertandingan dan satu aktiviti santai. Dua kategori untuk acara solo iaitu GCE Full Duathlon (10 km berlari, 60 km berbasikal dan 10 km berlari) dan GCE Dash Duathlon (5 km berlari, 27 km berbasikal dan 5 km berlari).

“Semua kategori dibuka untuk lelaki dan wanita yang berusia 16 tahun ke atas. Satu lagi acara berpasukan iaitu Team Relay turut diadakan dan ia terbahagi kepada dua sub kategori iaitu Men Relay bagi peserta lelaki dan Mixed Relay untuk peserta campuran,” katanya.

Albertt berkata, untuk acara berkenaan, tiga peserta dalam satu pasukan dikehendaki melalui cabaran dengan 10 km berlari, 60 km berbasikal dan 10 km berlari.

“Kami turut menyediakan acara Fun Ride sejauh 36 km bagi mereka yang berminat dengan acara santai.

Yuran penyertaan bagi setiap peserta adalah RM250 bagi GCE Full Duathlon dan RM220 bagi GCE Dash Duathlon.

“Penyertaan berkumpulan untuk tiga orang bagi kategori GCE Team Relay, yuran sebanyak RM540 akan dikenakan, manakala yuran RM50 untuk acara Fun Ride,” katanya.

Pendaftaran kini dibuka kepada orang ramai dan akan ditutup pada 19 Ogos ini. Setiap peserta akan menerima pek penyertaan yang mengandungi baju jersi atau kemeja T, beg cenderamata, nombor bib, cip masa dan pelbagai barangan lagi.

Pek penyertaan akan diedarkan kepada peserta pada 14 dan 15 September, bermula jam 11 pagi hingga jam 7 malam di lokasi yang akan diumumkan kelak.

Untuk pendaftaran dan maklumat lanjut, layari www.gosportz.my/all-events/gce-duathlon.

Orang awam juga disarankan memuat turun aplikasi mudah alih PROLINTAS menerusi App Store dan Google Play secara percuma untuk menerima sebarang maklumat mengenai GCE Duathlon 2018.

Berita Harian X