X
Jumaat, 10 Ogos 2018 | 12:15pm
BEBERAPA badan bukan kerajaan (NGO) dan penduduk mengadakan himpunan bantahan terhadap Pelan Induk Pengangkutan Pulau Pinang (PTMP) dan rancangan pembinaan Lebuhraya Pan Island Link (PIL) di hadapan bangunan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang. Danial Saad
BEBERAPA badan bukan kerajaan (NGO) dan penduduk mengadakan himpunan bantahan terhadap Pelan Induk Pengangkutan Pulau Pinang (PTMP) dan rancangan pembinaan Lebuhraya Pan Island Link (PIL) di hadapan bangunan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang. Danial Saad

Pembiayaan PIP masih menerusi tambakan laut

GEORGETOWN: Projek tambakan laut di selatan perairan Pulau Pinang (PSR) masih menjadi model pembiayaan tunggal bagi pelaksanaan pelbagai projek menerusi Pelan Induk Pengangkutan (PIP), termasuk Lebuhraya Pan Island Link I (PIL I).

Ketua Menteri, Chow Kon Yeow, berkata kerja tambakan laut di PSR juga akan membantu menanggung kos operasi dan penyelenggaraan PIL I dan perkhidmatan Transit Aliran Ringan (LRT) melalui penjanaan pendapatan daripada pembangunan tanah di kawasan itu.

“Selain itu, projek ini adalah langkah penyelesaian dalam memastikan kelestarian pembangunan ekonomi di negeri itu pada masa akan datang.

“Kerajaan negeri perlu mendapatkan bantuan daripada Kerajaan Persekutuan untuk membiayai projek LRT dan PIL, sekiranya tambakan laut tidak dilaksanakan,” katanya ketika menjawab soalan lisan pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang, di sini, hari ini.

Terdahulu, Lee Khai Loon (PH-Machang Bubuk) mempersoalkan model kewangan untuk membiayai projek LRT dan PIL menerusi kerja tambakan laut dan sejauh mana usaha kerajaan negeri untuk mendapat pinjaman daripada Kerajaan Persekutuan.

Khai Loon turut membangkitkan persoalan mengenai kaedah lebih lestari dan kos efektif dalam pelaksanaan projek dicadangkan dalam PIP.

Kon Yeow yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Kota berkata, projek PSR juga dilihat dapat mengatasi masalah perbandaran dihadapi di negeri ini, selain menjadi modal kewangan kepada PIP.

“Kekurangan tanah di bahagian timur pulau akibat pembangunan pesat seperti di Georgetown, Bayan Lepas dan Bayan Baru turut memberi implikasi kepada harga rumah dan mengehadkan tanah untuk pembangunan tapak perindustrian di negeri ini.

“Pembangunan infrastruktur tidak terancang menyebabkan kesesakan lalu lintas yang teruk, seterusnya menjejaskan perkembangan sektor industri di Bayan Lepas, terutama industri elektrik dan elektronik,” katanya.

Mengulas lanjut, Kon Yeow berkata, kerajaan negeri serius dalam pelaksanaan merasionalisasikan PIP, selain sudah mengemukakan permohonan kepada Kerajaan Persekutuan bagi mendapat peruntukan pembangunan untuk membiayai projek LRT.

“Kerajaan negeri turut memohon supaya Kerajaan Persekutuan mempertimbangkan pinjaman dengan kadar faedah rendah bagi pelaksanaan projek LRT, jika permohonan mendapatkan peruntukan pembangunan tidak diluluskan,” katanya.

Berita Harian X