Khamis, 9 Ogos 2018 | 2:31pm
DR Dzulkefly Ahmad, melihat keadaan katil pesakit yang penuh ketika melakukan lawatan mengejut di Hospital Kajang. - Foto Mohamad Shahril Badri Saali
Dr Dzulkefly Ahmad, melihat keadaan katil pesakit yang penuh ketika melakukan lawatan mengejut di Hospital Kajang. - Foto Mohamad Shahril Badri Saali
DR Dzulkefly Ahmad, beramah mesra bersama pesakit yang menunggu untuk mendapatkan rawatan di Jabatan Pesakit Luar ketika melakukan lawatan mengejut di Hospital Kajang. - Foto Mohamad Shahril Badri Saali
DR Dzulkefly Ahmad, melihat keadaan katil pesakit yang penuh ketika melakukan lawatan mengejut di Hospital Kajang. - Foto Mohamad Shahril Badri Saali

Hospital Kajang sesak

KAJANG: Kadar penggunaan katil harian di Hospital Kajang kini mencapai 150 peratus hingga menyumbang kepada kesesakan di wad, klinik pakar atau jabatan kecemasan.

Menteri Kesihatan, Dr Dzulkefly Ahmad, berkata kesesakan itu berlaku sejak beberapa tahun lalu berikutan peningkatan ketara bilangan pesakit yang mendapatkan rawatan di hospital berkenaan.

Katanya, keadaan itu turut memberi ketidakselesaan dan tekanan kepada kakitangan bertugas dan pesakit.

Pada masa sama, katanya, dasar hospital yang komited untuk memberi perkhidmatan rawatan dan tiada sekatan bilangan pesakit turut menyumbang kepada masalah itu.

“Berdasarkan lawatan saya tadi termasuk ke wad bersalin, wad lelaki dan kanak-kanak, ruang sesak hingga ada katil terpaksa diletak di koridor.

“Pelbagai usaha sudah dilakukan oleh pengurusan Hospital Kajang bagi mengatasi kesesakan di wad termasuk memaksimumkan penggunaan ruang termasuk koridor.

“Jumlah kedatangan pesakit harian ke Jabatan Kecemasan dan klinik pakar, misalnya mencapai 400 orang.

“Pesakit turut dinasihatkan untuk mendapatkan rawatan di hospital berdekatan seperti di Hospital Serdang dan Hospital Kuala Lumpur, namun kadar penggunaan katil kekal 150 peratus,” katanya selepas melawat hospital itu, hari ini.

Difahamkan lawatan itu bagi meninjau kesesakan di hospital berkenaan susulan aduan seorang pengguna menerusi Twitter, akhir bulan lalu, yang turut mendapat reaksi Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad supaya tindakan diambil segera.

Dr Dzulkefly meluangkan masa sejam meninjau, antaranya wad kanak-kanak, klinik pakar dan wad bersalin sambil diberi penerangan oleh pengarah hospital itu, Dr Md Fikri Abu Bakar.

Beliau berkata, sebagai penyelesaian jangka pendek, pihak Hospital Kajang diminta membuat permohonan sekurang-kurangnya 15 katil tambahan bagi menampung pertambahan bilangan pesakit yang ramai untuk kelulusan segera Kementerian Kesihatan.

Katanya, bagi penyelesaian jangka panjang, kerajaan akan membina blok tambahan dan melakukan pengubahsuaian bangunan sedia ada di samping pembinaan Kompleks Rawatan Wanita dan Kanak-Kanak (WCC) di tapak Kuarters Lama Sungai Jelok, bernilai RM300 juta.

“Projek ini di peringkat reka bentuk dan dijadual siap pada 2021. Ia akan dilengkapi 272 katil tambahan daripada 326 katil sedia ada di hospital ini.

“Dengan adanya projek naik taraf ini, ia dijangka mampu meningkatkan persekitaran rawatan yang lebih selesa dan kondusif kepada pelanggan,” katanya.

Berita Harian X