Ahad, 22 Julai 2018 | 10:26pm
CHOW Kon Yeow (kiri) pertimbang cadangan untuk membuat pinjaman daripada Kerajaan Persekutuan bagi mempercepatkan pelaksanaan PIP. - Foto MUHAMMAD MIKAIL ONG
CHOW Kon Yeow (kiri) pertimbang cadangan untuk membuat pinjaman daripada Kerajaan Persekutuan bagi mempercepatkan pelaksanaan PIP. - Foto MUHAMMAD MIKAIL ONG

Kerajaan PP pertimbang pinjam RM1b daripada Kerajaan Persekutuan

GEORGETOWN: Kerajaan Pulau Pinang bersedia mempertimbangkan cadangan untuk membuat pinjaman bernilai RM1 bilion daripada Kerajaan Persekutuan bagi mempercepatkan pelaksanaan beberapa projek yang dirangka menerusi Pelan Induk Pengangkutan (PIP).

Ketua Menteri, Chow Kon Yeow, berkata pinjaman itu bagi membiayai kos pembinaan projek Lebuh Raya Pan Island Link (PIL) I dan II dan perkhidmatan Transit Aliran Ringan (LRT) secara serentak bagi membolehkan rakyat menikmati kemudahan itu antara lima hingga enam tahun dari sekarang.

Bagaimanapun, katanya, tiada sebarang keputusan berhubung cadangan itu dimuktamadkan kerajaan negeri berikutan kedua-dua projek berkenaan belum menerima kelulusan daripada agensi Kerajaan Persekutuan yang berkaitan.

"Rakan pelaksana projek (PDP) mencadangkan supaya kerajaan negeri meminjam wang daripada Kerajaan Persekutuan bagi membolehkan kedua-dua projek ini dibina serentak.

"Jika tidak, tempoh sehingga 12 tahun diperlukan untuk menyiapkannya secara berasingan. Kita juga berharap kelulusan bagi projek ini dapat dicapai menjelang hujung tahun ini.

"Ia juga masih terlalu awal untuk dikatakan. Kita perlu mendapatkan kelulusan terlebih dahulu sebelum memuktamadkan keputusan lanjut," katanya pada sidang media selepas menghadiri Taklimat PIP bersama wakil rakyat di sini, hari ini.

PIP yang bernilai RM42 bilion dirangka kerajaan DAP Pulau Pinang bertujuan membina pelbagai kemudahan pengangkutan awam, termasuk perkhidmatan LRT, monorel, beberapa lebuh raya dan terowong dasar laut.

PIP sebelum ini, mencetuskan kontroversi selepas ia dikaitkan dengan kerja tambakan laut bagi membentuk tiga pulau buatan seluas 1,659 hektar di perairan selatan Pulau Pinang untuk membiayai keseluruhan pelaksanaan projek berkenaan.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Dua, Muhamad Yusoff Mohd Noor membangkitkan kebimbangannya berhubung keseluruhan pelaksanaan projek terbabit yang didakwa akan menjejaskan alam sekitar dan nelayan.

"Saya juga ingin tahu jaminan kerajaan negeri bahawa rakyat akan menggunakan sepenuhnya kemudahan berkenaan sejurus ia siap dibina nanti. Bagaimanapun, tiada jawapan dikemukakan bagi persoalan saya ini.

"Mereka juga berjanji untuk membayar pampasan kepada nelayan dan berharap ia akan dikotakan, selain menyifatkan rancangan tambakan laut untuk membiayai PIP sebagai bercita-cita tinggi," katanya.

Beliau berkata, kerajaan negeri sebaliknya perlu menswastakan rancangan pembinaan projek LRT kerana pemaju akan menjana keuntungan daripada orang ramai menerusi tempoh konsesi.

"Ini (cadangan penswastaan pembinaan projek LRT) lebih baik dan biarkan pemaju menjana keuntungan mereka seperti konsep konsesi tol yang sudah diguna pakai sebelum ini," katanya.

Berita Harian X