Ahad, 22 Julai 2018 | 5:10pm
GAMBAR hiasan.
GAMBAR hiasan.

Harga RMM di Melaka berpatutan - Adly Zahari

-

JASIN: Tiada keperluan untuk menurunkan lagi harga Rumah Mampu Milik (RMM) di negeri ini kerana nilai sedia bagi rumah itu adalah pada kadar berpatutan.

Ketua Menteri, Adly Zahari, berkata kerajaan negeri berpuas hati dengan harga ditawarkan bagi setiap unit RMM, selain menganggap harga itu sebagai mampu untuk dimiliki oleh penduduk.

"Pada harga serendah RM165,000 hingga RM180,000, RMM di negeri ini sangat rendah dan boleh dimiliki oleh penduduk.

"Namun, kita menasihatkan penduduk yang ingin membeli rumah ini perlu bersedia dari segi bayaran 10 peratus dan berkemampuan dari segi pinjaman bank," katanya selepas merasmikan penyerahan kunci kepada 423 pemilik rumah fasa satu RMM di Taman Merlimau Permai, di sini, hari ini.

Turut hadir, Pengarah Urusan Syarikat Wawasan Intact Properties Sdn Bhd, Datuk Ng Choon Koon.

Adly berkata, kerajaan negeri menyasarkan sebanyak 20 peratus pembangunan RMM, 20 peratus rumah kos rendah dan 60 peratus rumah pelbagai kos disiapkan tahun ini sama ada oleh pihak swasta mahupun melalui projek dibangunkan Lembaga Perumahan Melaka (LPM).

Sehingga kini, katanya, sebanyak 28,000 unit RMM sudah disiapkan, manakala 28,000 unit rumah lagi dalam proses pembinaan.

Berita Harian X