Rabu, 18 Julai 2018 | 1:08pm
PINTU Gerbang utama BCF 2018 yang masih dalam pembinaan untuk Majlis pelancaran di dataran fasa 1, Sibu. - Foto Harun Yahya

BCF2018 tarik kunjungan pelancong

SIBU: Penganjuran Festival Kebudayaan Borneo 2018 (BCF2018), bermula esok hingga 28 Julai ini, mampu meningkatkan jumlah kunjungan pelancong, terutama di wilayah tengah Sarawak.

Timbalan Pengerusi Majlis Perbandaran Sibu (MPS), Rogayah Jamaain, berkata program itu menawarkan pelbagai aktiviti kesenian dan kebudayaan unik, seiring kedudukan negeri yang penduduknya terdiri daripada pelbagai kaum dan etnik.

Katanya, BCF2018 yang dibahagikan kepada Pavilion Cina, Melayu dan Melanau serta Dayak akan diadakan di Dataran Fasa 1 Sibu, yang menjadi pentas persembahan kesenian dan kebudayaan pelbagai komuniti di Sibu.

"Penganjur turut menyediakan ruang pameran dan gerai jualan merangkumi produk kraftangan dan makanan tradisi di Dataran Fasa 2 Sibu.

"Antara elemen baharu diperkenalkan tahun ini ialah permainan tradisional dan alat muzik tradisional mewakili setiap komuniti," katanya pada sidang media BCF2018, di sini, hari ini.

Rogayah berkata, bagi penganjuran tahun ini, orang ramai berpeluang bermain permainan tradisional dan mempelajari asas permainan alat muzik tradisional yang akan ditempatkan di pintu masuk utama tapak festival.

Turut diadakan, katanya, bengkel kesenian dan kebudayaan membabitkan kumpulan tempatan dan luar negara, termasuk pengenalan kepada instrumen muzik berasaskan buluh oleh Kumpulan Bamboo Woods dari Sabah, selain bengkel tarian 'Ram Wong' dari Thailand.

Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Abang Openg dijadualkan merasmikan acara terpenting dalam Kalendar Pelancongan Sarawak 2018 itu, pada 20 Julai ini.

Berita Harian X