Rabu, 18 Julai 2018 | 10:13am
TAN Kok Yew (dua dari kanan) bersama Ismail Mokhtar (tiga kanan) melawat tapak pelupusan sampah selepas mesyuarat penyelarasan isu-isu Tapak Pelupusan Jabi di Pokok Sena. - Foto Sharul Hafiz Zam
TAN Kok Yew (dua dari kanan) bersama Ismail Mokhtar (tiga kanan) melawat tapak pelupusan sampah selepas mesyuarat penyelarasan isu-isu Tapak Pelupusan Jabi di Pokok Sena. - Foto Sharul Hafiz Zam

Pusat pelupusan sampah integrasi di Kedah

POKOK SENA: Kedah bakal memiliki pusat pelupusan sampah integrasi moden pertama bagi menampung kepadatan bahan buangan di negeri ini.

Ketua Pengarah Jabatan Pengurusan Sisa Pepejal Negara (JPSPN), Ismail Mokhtar, berkata pusat integrasi itu akan dibina di Gurun dengan peruntukan kira-kira RM700 juta dalam tempoh tiga tahun akan datang.

"Kita sedang membuat penilaian dan mengenal pasti tanah di Gurun untuk dibangunkan sebuah pusat pelupusan sampah menggunakan teknologi tinggi.

"Teknologi itu termasuklah kaedah kitar semula sampah kepada tenaga yang dikenali sebagai WTE ('waste to energy') bagi memastikan bahan ini boleh diguna semula," katanya pada sidang media selepas mengadakan lawatan ke Tapak Pelupusan Sisa Pepejal Sanitari Jabi, dekat sini.

Hadir sama Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kerajaan Tempatan dan Perumahan, Tan Kok Yew.

Pada masa sama, Ismail berkata Kedah mempunyai tujuh pusat pelupusan sampah iaitu di Jabi; Kampung Tok Sedau, Pendang; Paya Kemunting, Jitra; Padang Cina, Kulim; Pulai, Baling; PPS Semeling, Sungai Petani dan di Belanga Pecah, Langkawi.

TAPAK pelupusan sampah, Jabi di Pokok Sena. - Foto Sharul Hafiz Zam
TAPAK pelupusan sampah, Jabi di Pokok Sena. - Foto Sharul Hafiz Zam

Katanya, kapasiti setiap pusat pelupusan sampah ialah sekitar 300 hingga 500 tan sehari dengan keseluruhan bahan buangan yang terkumpul di Kedah sebanyak kira-kira 1,400 tan sehari.

"Ada pusat pelupusan yang sudah penuh dan ada yang hampir penuh jadi kita memerlukan sebuah pusat integrasi untuk menampung keperluan masa depan.

"Sehingga kini beberapa buah negeri sudah mempunyai pusat pelupusan sampah integrasi seperti di Melaka dan Negeri Sembilan, " katanya.

Sementara itu, Kok Yew berkata, Pusat Pelupusan Sisa Pepejal Paya Kemunting akan ditutup dengan bahan buangan dari Jitra akan dihantar ke Jabi.

Katanya, pusat pelupusan di Paya Kemunting ditutup berikutan berlaku kebakaran sebelum ini dan bahan buangan dari kawasan itu akan dibawa ke Jabi yang jaraknya sekitar 45 kilometer (km).

TAPAK pelupusan sampah, Jabi di Pokok Sena. - Foto Sharul Hafiz Zam
TAPAK pelupusan sampah, Jabi di Pokok Sena. - Foto Sharul Hafiz Zam

Berita Harian X