Selasa, 10 Julai 2018 | 5:17pm
BARU Bian, pada sidang media di kompleks Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini hari ini. - Foto Goh Pei Pei
BARU Bian, pada sidang media di kompleks Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini hari ini. - Foto Goh Pei Pei

Pindaan Kanun Tanah tidak adil - Baru Bian

PETRA JAYA: Rang Undang-Undang Kanun Tanah (Pindaan) 2018, yang dijangka dibentangkan oleh kerajaan negeri, akan menjadi sesuatu yang mengecewakan jika diluluskan di Dewan Undangan Negeri (DUN) pada persidangan esok.

Pengerusi PKR Sarawak, Baru Bian berkata, pindaan yang dicadangkan itu gagal untuk mengesahkan status asas dalam isu tanah hak adat Bumiputera (NCR) iaitu `pemakai menua' dan konsep `pulau galau'.

Beliau berkata, `pemakai menua' dan `pulau galau' ditakrifkan sebagai hak atau keistimewaan yang dinikmati oleh masyarakat pribumi terhadap kawasan tanah mereka untuk mencari makanan termasuk bertani, memancing dan memburu.

"Bagaimanapun, kawasan yang dibenarkan untuk diberikan kepada masyarakat pribumi mengikut konsep itu (pindaan Rang Undang-Undang Kanun Tanah) adalah terhad kepada 500 hektar saja.

"Kami menggesa supaya kawasan 'pemakai menua' dan 'pulau galau' tidak dihadkan dalam kawasan yang ditentukan oleh pihak berkuasa," katanya pada sidang media di Kompleks DUN di sini, hari ini.

Baru yang juga Menteri Kerja Raya dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ba'Kelalan berkata, penentuan wilayah haruslah menepati kawasan yang diduduki sejak zaman nenek moyang pemilik tanah hingga kini.

"Kami pernah memenangi kes membabitkan kawasan melebihi 10,000 hektar dan dengan mengehadkan saiz tanah (milik pribumi) dengan cara ini (pindaan rang undang-undang) adalah tidak adil dan salah," katanya.

Selain itu, Baru berkata, pihaknya juga mencadangkan pengwujudan Suruhanjaya Tanah Adat yang dibarisi pakar dalam hal ehwal adat pribumi untuk menangani isu itu.

"Adalah tidak sesuai untuk memberi kuasa kepada Pengarah Jabatan Tanah dan Survei untuk meluluskan permohonan pengiktirafan tanah NCR," katanya.

Berita Harian X