Sabtu, 7 Julai 2018 | 12:31pm
ANGGOTA APM menangkap ular sawa yang ditemui bersembunyi dalam ruang enjin kereta PERODUA Viva di Kampung Pintasan, Kota Belud. - Foto Recqueal Raimi
ANGGOTA APM menangkap ular sawa yang ditemui bersembunyi dalam ruang enjin kereta PERODUA Viva di Kampung Pintasan, Kota Belud. - Foto Recqueal Raimi

Buka bonet, jumpa ular

KOTA BELUD: Seekor ular sawa sepanjang kira-kira satu meter ditemui bersembunyi dalam ruang enjin kereta PERODUA Viva ketika anak pemilik kenderaan terbabit membuka bonet untuk membersihkan ruang berkenaan, semalam.

Dalam kejadian jam 8.15 pagi di Kampung Pintasan, di sini, Jakasi, 9, terkejut apabila melihat seekor ular dengan lidah terjulur ke arahnya sejurus membuka bonet.

Secara spontan, Jakasi terus melepaskan bonet dan menjerit sebelum memaklumkan kepada abangnya, Akmadiah, 28, yang berada berdekatan.

Mereka kemudiannya menghubungi Agensi Pertahanan Awam Malaysia (APM) bagi mendapatkan bantuan sebelum sepasukan anggota dihantar ke lokasi kejadian.

Pegawai APM Unit Kota Belud, Paulina Francis, berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 8.20 pagi dan anggota membuka bonet kereta bagi memeriksa kedudukan reptilia itu.

"Anggota APM mengambil masa 16 minit mencari ular berkenaan sebelum ia ditemui bersembunyi di pad brek tayar kiri hadapan kereta terbabit.

"Anggota APM menggunakan penjerut bagi menangkap ular berkenaan. Operasi berjalan lancar dan tamat pada jam 9.04 pagi," katanya.

Berita Harian X