Rabu, 4 Julai 2018 | 11:35am
DATUK Ahmad Kassim
DATUK Ahmad Kassim

Ahmad Kassim dilantik Speaker DUN Kedah

ALOR SETAR: Kemelut pelantikan Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah akhirnya selesai apabila bekas Ahli Parlimen Kuala Kedah, Datuk Ahmad Kassim dilantik memegang jawatan itu, hari ini.

Ahmad, 63, dilantik melalui proses undian dalam Mesyuarat Pertama Penggal Pertama Sidang DUN Ke-14 di Wisma Darul Aman, di sini.

Terdahulu, Menteri Besar, Datuk Seri Mukhriz Mahathir mencadangkan nama Ahmad sebagai Speaker dan disokong oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pengkalan Kundor, Datuk Dr Ismail Salleh.

Sementara itu, ADUN Jeneri, Muhammad Sanusi Md Nor yang juga Timbalan Pesuruhjaya PAS negeri dan Ketua Pembangkang DUN Kedah, mencadangkan nama Pesuruhjaya PAS Kedah, Dr Ahmad Fakhruddin Sheikh Fakhrurazi untuk jawatan sama, dan disokong ADUN Merbau Pulas, Datuk Siti Ashah Ghazali.

Melalui proses undian itu, Ahmad memperoleh 21 undi, manakala Ahmad Fakhruddin pula mendapat 15 undi.

Ahmad daripada PKR berpengalaman menjadi Ahli Parlimen Kuala Kedah selepas mengalahkan calon Barisan Nasional (BN), Datuk Hashim Jahaya pada Pilihan Raya Umum (PRU) 2008.

Berita Harian X