Isnin, 2 Julai 2018 | 6:37pm
PENGERUSI Jawatankuasa Bertindak Selamatkan Bukit Payong Abu Bakar Azmi, (tiga dari kanan) menyerahkan memorandum membantah pembinaan Pusat Pelupusan Sisa Pepejal Sanitari Bukit Payong, Parit Sulong Batu Pahat kepada Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin di Iskandar Puteri semalam. - Foto Abu Bakar Azmi
PENGERUSI Jawatankuasa Bertindak Selamatkan Bukit Payong Abu Bakar Azmi, (tiga dari kanan) menyerahkan memorandum membantah pembinaan Pusat Pelupusan Sisa Pepejal Sanitari Bukit Payong, Parit Sulong Batu Pahat kepada Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin di Iskandar Puteri semalam. - Foto Abu Bakar Azmi

Penduduk berang projek diteruskan

BATU PAHAT: Penduduk berang apabila menteri bertanggungjawab mengumumkan kerajaan meneruskan projek Pusat Pelupusan Sisa Pepejal Sanitari Bukit Payong, Parit Sulong di sini, tanpa mengadakan dialog bersama penduduk.

Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Selamatkan Bukit Payong, Abu Bakar Azmi, berkata tindakan itu tidak mencerminkan semangat kerajaan baharu yang mesra rakyat dan mendengar rintihan penduduk.

"Rakyat mahu situasi menang-menang dengan kerajaan. Menteri kena faham cerita rakyat dan jangan ikut buku kajian yang semata-mata diluluskan untuk keuntungan.

"Sekarang, kerajaan negeri dan Kerajaan Pusat cuma berpandukan kepada buku kajian oleh Barisan Nasional (BN) dan itu yang saya nampak," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Beliau berkata, dalam kumpulan WhatsApp Selamatkan Bukit Payung, pemimpin kerajaan mula memberi kenyataan dalam Bahasa Inggeris kepada penduduk.

"Jika hendak buat kenyataan, jumpalah rakyat dahulu. Ini tidak, belum ada dialog sudah buat keputusan, macam mana?

"Penduduk marah. Dengar kata minggu ini penduduk Kampung Mohd Noor mahu buat piket tetapi saya tetap dengan pendirian, tunggu dalam masa 14 hari.

"Kerajaan sekarang dan BN tiada beza pun, orang kampung sudah marah. Mereka (penduduk) menelefon mahu buat tindakan sendiri tetapi saya minta mereka bersabar sampai menteri turun buat sesi dialog," katanya.

Semalam, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin, berkata kerajaan akan meneruskan projek pembinaan Pusat Pelupusan Sisa Pepejal Sanitari Bukit Payong.

Beliau dipetik berkata, berikutan itu sesi penjelasan dan taklimat bersama penduduk tempatan akan diadakan tidak lama lagi.

Berita Harian X