Khamis, 28 Jun 2018 | 4:25pm
PEMANGKU Pegawai Pemerintah Pasukan Polis Marin (PPM) Pengkalan Kubor, Inspektor Reduan Mohidin (tengah) bersama pegawainya menunjukan barang rampasan berupa 24 kampit beras dalam serbuan di pengkalan haram, Pak Su Roni ketika ditemui di Markas Operasi Pasukan Polis Marin (PPM) Pengkalan Kubor, Tumpat. - Foto Nik Abdullah Nik Omar
PEMANGKU Pegawai Pemerintah Pasukan Polis Marin (PPM) Pengkalan Kubor, Inspektor Reduan Mohidin (tengah) bersama pegawainya menunjukan barang rampasan berupa 24 kampit beras dalam serbuan di pengkalan haram, Pak Su Roni ketika ditemui di Markas Operasi Pasukan Polis Marin (PPM) Pengkalan Kubor, Tumpat. - Foto Nik Abdullah Nik Omar

PPM rampas beras seludup

TUMPAT: Serbuan Pasukan Polis Marin (PPM) Pengkalan Kubor di Pangkalan Haram Pak Su Roni, Simpangan, di sini, hari ini berjaya merampas 24 kampit beras dianggarkan bernilai RM7,600.

Pemangku Pegawai Pemerintah PPM Pengkalan Kubor, Inspektor Reduan Mohidin, berkata serbuan dilakukan pada jam 12.30 tengahari tadi, atas maklumat Unit Risikan Marin (URM).

"Kita melakukan serbuan dengan menggunakan bot ronda yang ketika itu menjalankan tugas Op Pensura siri satu, tahun ini.

"Sebaik tiba di pangkalan haram terbabit, dua lelaki tempatan dilihat sedang memunggah beras dari tebing Sungai Golok ke dalam kereta jenis Nissan Sentra," katanya ketika ditemui media di Markas Operasi PPM Pengkalan Kubor, di sini, hari ini.

Beliau berkata, terkejut dengan kehadiran pihak berkuasa, dua lelaki terbabit bertindak melarikan diri ke dalam semak berhampiran.

Katanya, hasil pemeriksaan dilakukan mendapati sejumlah 22 kampit beras seberat 25 kilogram (kg) dan dua kampit beras 50 kg berada berhampiran kereta terbabit.

"Nilai rampasan dianggarkan berjumlah RM7,600 dan beras terbabit dipercayai dari Thailand untuk pasaran runcit sekitar daerah ini.

"Rampasan yang dibuat turut membabitkan dua anggota Batalion Ke-5 Rejimen Renjer, Angkatan Tentera Malaysia (ATM)," katanya.

Reduan berkata, penyeludupan beras didapati semakin aktif berikutan permintaan beras Thailand yang tinggi kerana kualiti dan harganya.

"Modus operandi penyeludup terbabit dengan membawa masuk beras Thailand menggunakan bot sebelum dibawa terus ke pasaran dengan menggunakan kereta.

"Kes disiasat mengikut Akta Padi dan Beras Negara 1994," katanya.

Berita Harian X