Selasa, 26 Jun 2018 | 4:36pm

PBT diarah kenal pasti pokok uzur elak bencana

SEREMBAN: Pihak berkuasa tempatan (PBT) diarah meningkatkan pemantauan terhadap pokok bagi mengelak risiko bencana terhadap orang awam akibat pokok tumbang dan dahan patah.

Risiko pokok tumbang boleh dikurangkan jika PBT sentiasa menyelenggara pokok sekurang-kurangnya sebulan sekali agar tidak membahayakan orang ramai setiap kali dilanda ribut.

Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Kesejahteraan Bandar, Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Kampung Baru negeri, Teo Kok Seong, berkata beliau menerima beberapa aduan daripada wakil rakyat mengenai pokok yang berisiko tumbang.

Berikutan itu, katanya, PBT sudah diarah menjalankan pemantauan pokok, terutama di kawasan Bandar Seremban selepas insiden seorang lelaki warga emas maut dihempap pokok tumbang, minggu lalu.

"Saya sudah meminta PBT mengenal pasti pokok yang uzur, rosak dan mengalami pereputan supaya kerja penebangan dapat dilakukan segera bagi mengelak tragedi sama berulang.

"Kerja pemantauan dan penyelenggaraan secara berkala juga dilakukan secara kerap supaya mudah untuk kita kesan pokok yang uzur," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Pada 18 Jun lalu, Ranandra Chaudhury, 74, maut selepas kereta PERODUA Myvi dipandu dihempap pokok tumbang dalam ribut di Jalan Leftenan Adnan, berhampiran Tasik Seremban, jam 10.27 malam.

Mangsa meninggal dunia di lokasi kejadian kerana parah pada kepala dan badan kerana dihempap pokok yang tumbang dipercayai akibat hujan lebat serta ribut.

Berita Harian X