Selasa, 26 Jun 2018 | 2:52pm
BANGUNAN KPJ Pahang Specialist Hospital di Tanjung Lumpur. - Foto Shahrinnahar Latib
BANGUNAN KPJ Pahang Specialist Hospital di Tanjung Lumpur. - Foto Shahrinnahar Latib

KPJ rancang buka hospital swasta baharu di Pahang

KUANTAN: KPJ Healthcare Berhad (KPJ) bercadang membuka sebuah lagi cawangan hospital milik syarikat itu di negeri ini dalam tempoh 10 tahun akan datang.

Ketua Pegawai Eksekutif KPJ Pahang, Yasser Arafat Ishak, berkata ia bagi memenuhi permintaan perkhidmatan penjagaan kesihatan yang meningkat di negeri ini.

Katanya, antara lokasi pilihan bagi pembinaan hospital baharu itu ialah di Temerloh selepas pembukaan cawangan pertama Hospital Pakar KPJ Pahang di Tanjung Lumpur, di sini, pada 2016.

"Sebelum membuka cawangan hospital baharu, kita membuat kajian terlebih dahulu dari pelbagai aspek termasuk kepadatan penduduk.

"Berdasarkan kajian dilakukan, Temerloh didapati lokasi paling sesuai untuk pembinaan cawangan baharu hospital berkenaan," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Yasser berkata, Hospital Pakar KPJ Pahang adalah satu-satunya hospital swasta di negeri ini yang menerima akreditasi daripada Persatuan Kualiti Kesihatan Malaysia (MSQH).

Katanya, penganugerahan akreditasi pada Februari lalu membuktikan hospital KPJ diiktiraf dari segi kualiti kerana MSQH adalah sebuah badan penilai yang tegas dan ketat.

Beliau berkata, hospital itu juga mempunyai kepakaran dalam bidang berkaitan jantung yang mana hospital swasta lain akan merujuk pesakit mereka di sini.

"Justeru, warga Kuantan dan Pahang serta sekitarnya boleh mendapatkan khidmat perubatan termasuk rawatan berkaitan jantung di hospital ini," katanya.

Hospital Pakar KPJ Tanjung Lumpur yang beroperasi pada Mei 2016, boleh memuatkan 188 katil berbanding hanya 72 katil ketika beroperasi di Jalan Alor Akar.

Berita Harian X