Jumaat, 22 Jun 2018 | 7:30pm
 HUTAN Bukit Cerakah yang didakwa diteroka oleh penduduk Bukit Kayu- Foto Roslin Mat Tahir
HUTAN Bukit Cerakah yang didakwa diteroka oleh penduduk Bukit Kayu- Foto Roslin Mat Tahir

Bukan Hutan Simpan Kekal

SHAH ALAM: Hutan Bukit Cerakah yang didakwa diteroka oleh penduduk Bukit Kayu bukan dalam kawasan Hutan Simpan Kekal (HSK).

EXCO Alam Sekitar, Teknologi Hijau dan Hal Ehwal Pengguna, Hee Loy Sian berkata, hasil semakan Jabatan Perhutanan Negeri Selangor (JPNS) mendapati ia bukan di bawah seliaan jabatan itu.

Beliau berkata, JPNS menerima aduan itu yang menyatakan bahawa kawasan yang terbabit adalah di bawah selenggaraan pihak Jabatan Perhutanan Malaysia.

"JPNS sudah arahkan pihak Pegawai Hutan Daerah Selangor Tengah untuk membuat semakan di lapangan pada 19 dan 20 Jun di lokasi aduan dan juga semakan melalui sistem maklumat perhutanan JPN Selangor.

"JPNS mendapati kawasan yang dimaksudkan pengadu adalah disahkan terletak di luar kawasan HSK dan bukan di bawah seliaan JPNS," katanya ketika dihubungi NSTP.

Beliau berkata, kawasan HSK yang paling hampir dengan kawasan aduan adalah Hutan Simpan Bukit Cherakah Tambahan pada jarak kira-kira 450 meter daripada lokasi kejadian.

"Pada 20 Jun, JPNS juga sudah bertemu dengan penduduk di lokasi kejadian dan memberikan penjelasan lanjut berhubung status kawasan yang dimaksudkan.

"Kebanyakan pengadu menyatakan rasa ketidakpuasan hati ke atas kerja-kerja yang dijalankan oleh pihak tertentu di kawasan berkenaan," katanya.

Loy Sian berkata, antara perkara yang dibangkitkan seperti tiada sebarang pemakluman kepada penduduk taman perumahan serta kelulusan projek pembangunan yang akan dijalankan di kawasan itu diragui termasuk membabitkan kajian impak alam sekitar (EIA).

Katanya, beliau juga dimaklumkan oleh pihak JPNS bahawa jabatan akan terus membuat pemantauan dan menyiasat ke atas sebarang kelulusan projek pembangunan yang membabitkan kawasan HSK Bukit Cherakah Tambahan ini seperti didakwa penduduk.

NST hari ini melaporkan penduduk Bukit Bayu dan masyarakat setempat bimbang dengan tindakan pihak tertentu yang didakwa meneroka kawasan hutan Bukit Cerakah di sini atas alasan untuk projek pembangunan.

Difahamkan, isu itu timbul apabila pihak syarikat berkaitan mula meletakkan kon di laluan masuk hutan berdekatan kawasan perumahan berkenaan selain beberapa bunyi letupan.

Ia sekali gus menghalang orang ramai, terutama pendaki memasuki kawasan trek hutan berkenaan selain dikhuatiri mengganggu ekologi alam sekitar serta habitat hidupan liar di situ.

Penduduk juga mendakwa masih keliru kerana tiada papan tanda diletakkan bagi menyatakan status terperinci projek pembangunan itu, termasuk pemilik sebenar tanah berkenaan.

Berita Harian X