Jumaat, 22 Jun 2018 | 10:42am
Sebahagian daripada 19 unit tukun tiruan konkrit jenis 'Kuboid' yang akan dilabuhkan Jabatan Perikanan Pahang di perairan Sungai Ular. - Foto Mohd Rafi Mama

Tukun tiruan bendung aktiviti nelayan pukat tunda

KUANTAN: Jabatan Perikanan Pahang akan menempatkan 19 unit tukun tiruan konkrit jenis kekotak atau kuboid bernilai RM297,600 di perairan Sungai Ular, dekat sini, minggu hadapan.

Pengarahnya, Azahari Othman berkata, tukun tiruan itu dengan setiap satu seberat lima tan berfungsi sebagai tempat pembiakan pelbagai jenis ikan seperti kerapu, kerisi, merah, selar kuning dan kembung selain udang dan sotong.

Beliau berkata, kajian sebelum ini mendapati pelbagai jenis ikan, tumbuhan karang dan hidupan marin lain akan menjadikan tukun berkenaan habitat baharu selepas enam bulan ia ditempatkan di kawasan terbabit.

Katanya, jarak tukun tiruan dengan pantai di kawasan terbabit ialah kira-kira lima batu nautika dan kedalaman laut lebih 15 meter, manakala setiap tukun berada selang empat meter antara satu sama lain.

"Selain dijadikan tempat pembiakan pelbagai jenis ikan, tukun tiruan konkrit berfungsi sebagai penghalang atau penyekat aktiviti nelayan pukat tunda yang sebelum ini banyak dilaporkan di perairan negeri ini.

"Pukat tunda yang tersangkut pada tukun berbentuk empat segi ini akan pecah manakala tali penarik turut putus.

"Menerusi cara ini saya yakin selepas ini aktiviti pukat tunda membabitkan nelayan asing di perairan daerah ini dapat dikekang," katanya ketika dihubungi, di sini, hari ini.

Pembinan tukun tiruan dilakukan di kawasan jeti Kuala Kemaman, Terengganu.

Azahari berkata, peruntukan Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK11) digunakan untuk melaksanakan projek tukun tiruan di perairan Sungai Ular, kali terakhir tukun tiruan jenis kiub ditempatkan di kawasan terbabit pada tahun 2009.

Beliau juga berkata, tukun tiruan yang ditempatkan di perairan Sungai Ular diharap dapat menambah pendapatan nelayan tempatan yang memancing, industri pelancongan juga akan bertambah apabila ramai pemancing datang.

"Sejak tahun 2006, jabatan membelanjakan kira-kira RM3 juta bagi menyediakan tukun tiruan jenis kiub, tetrapod, kiub juvenil dan kuboid di negeri ini membabitkan 207 unit di 12 lokasi daerah ini, Pekan dan Rompin.

"Tahun lalu jabatan melabuhkan 23 unit tukun tiruan konkrit jenis sama turut ditempatkan di perairan Chempaka, Cherok Paloh dan Pantai Sepat.

"Jabatan akan terus berusaha menyediakan lebih banyak tukun tiruan diperairan negeri ini bertujuan menambah taburan ikan selain menghalang aktiviti pukat tunda nelayan asing," katanya.

Berita Harian X