Khamis, 21 Jun 2018 | 2:10pm
TAN Hong Pin (kiri) meninjau operasi dan mengadakan perbincangan dengan agensi berkaitan ketika Lawatan Kerja ke Tapak Pelupusan CEP Renggam di Tapak Pelupusan CEP Renggam, Simpang Renggam. - Foto Adi Safri
TAN Hong Pin (kiri) meninjau operasi dan mengadakan perbincangan dengan agensi berkaitan ketika Lawatan Kerja ke Tapak Pelupusan CEP Renggam di Tapak Pelupusan CEP Renggam, Simpang Renggam. - Foto Adi Safri
TAN Hong Pin (kanan) meninjau operasi dan mengadakan perbincangan dengan agensi berkaitan ketika Lawatan Kerja ke Tapak Pelupusan CEP Renggam di Tapak Pelupusan CEP Renggam, Simpang Renggam. - Foto Adi Safri
TAN Hong Pin (kanan) meninjau operasi dan mengadakan perbincangan dengan agensi berkaitan ketika Lawatan Kerja ke Tapak Pelupusan CEP Renggam di Tapak Pelupusan CEP Renggam, Simpang Renggam. - Foto Adi Safri

Projek Pusat Pelupusan Sampah Bukit Payong ditangguh

KLUANG: Kerajaan Johor menangguhkan sementara projek pembinaan Pusat Pelupusan Sisa Pepejal Sanitari Bukit Payong, Parit Sulong, yang dijadual beroperasi pada 2020.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Sains dan Teknologi, Tan Hong Pin, berkata langkah penangguhan projek yang diluluskan kerajaan terdahulu itu dibuat berikutan bantahan berterusan dikemukakan penduduk kawasan berkenaan.

"Kita akan membuat kajian semula terhadap projek Pusat Pelupusan Sisa Pepejal Sanitari Bukit Payong, sebelum mencapai keputusan muktamad.

"Ketua Pengarah Jabatan Pengurusan Sisa Pepejal Negara juga akan membuat lawatan ke tapak projek di Bukit Payong, Julai ini, bagi membuat penilaian lanjut," katanya ketika melawat Pusat Pelupusan Sisa Pepejal Sanitari Ladang CEP Renggam, dekat Simpang Renggam, di sini, hari ini.

Januari lalu, Timbalan Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Halimah Sadique, ketika itu dilaporkan berkata, projek bernilai RM58.7 juta berkenaan sudah bermula dengan kontraktor projek juga sudah dilantik.

Katanya, pembinaan serta pembukaan Pusat Pelupusan Sisa Pepejal Sanitari Bukit Payong di tanah seluas 42.18 hektar amat penting berikutan pusat pelupusan sampah sedia ada di beberapa lokasi berhampiran sudah mencapai tahap maksimum dan kritikal.

Bagaimanapun, pada 31 Mei lalu, penduduk dari Bukit Payong, menghantar memorandum yang mendakwa pembinaan tapak pelupusan sampah itu akan menyebabkan alam sekitar tercemar dan menjejaskan pendapatan penduduk.

Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Selamatkan Bukit Payong, Abu Bakar Azmi, dilaporkan mendakwa pihaknya sudah membantah sejak 10 tahun lalu bagi memastikan pihak berwajib menyekat sementara projek pelupusan sampah yang menjejaskan kira-kira 18 kampung di sekitarnya.

Penduduk mendakwa projek di tapak keluasan 56.66 hektar ini secara tidak langsung menjejaskan lebih ramai penduduk menyebabkan mereka meminta kerajaan meneliti semula pembinaan projek ini, selain mewartakan Bukit Payong sebagai Hutan Simpan Rekreasi.

Berita Harian X