Khamis, 14 Jun 2018 | 9:00am
Peniaga kelongsong ketupat dari Kota Marudu, William Jambu, 36, melayan pelanggan yang mahu membeli keperluan Hari Raya Aidilfitri di Pasar Besar Kota Kinabalu. - Foto Fardy Bungga
Peniaga kelongsong ketupat dari Kota Marudu, William Jambu, 36, melayan pelanggan yang mahu membeli keperluan Hari Raya Aidilfitri di Pasar Besar Kota Kinabalu. - Foto Fardy Bungga

Kelongsong ketupat punca rezeki

KOTA KINABALU: Hidangan ketupat dan ketupat palas semestinya menjadi hidangan wajib pada setiap rumah terbuka Hari Raya Aidilfitri, namun tanpa disedari tidak ramai terutamanya generasi muda yang tahu menganyam kelongsong ketupat.

Tidak hairanlah ramai yang memilih untuk membeli kelongsong ketupat sedia dianyam di pasaran berbanding menganyam sendiri di

rumah.

Kekurangan 'pakar' menganyam ketupat itulah yang memberikan peluang kepada golongan peniaga untuk menjana keuntungan berlipat ganda semasa Ramadan.

Bagi peniaga kelongsong ketupat, William Jambu, 36, dari Kota Marudu, setiap tahun menjelang perayaan Aidilfitri, dia dan keluarganya akan menyewa tapak di Pasar Besar Kota Kinabalu untuk menjual pelbagai jenis daun dan kelongsong ketupat.

Dia dan isteri, Sarina Tangkahak, 28, sudah mahir menganyam ketupat dan mampu membuat sehingga 4,000 kelongsong dalam tempoh tiga hari berniaga di sini.

Antara daun dan kelongsong ketupat yang dijual di Pasar Besar Kota Kinabalu. - Foto Fardy Bungga
Antara daun dan kelongsong ketupat yang dijual di Pasar Besar Kota Kinabalu. - Foto Fardy Bungga

"Saya menjual kelongsong ketupat di sini sejak tujuh tahun lalu. Setiap tahun kami akan menyewa tapak yang dibuka khas setiap bulan puasa untuk menjual pelbagai jenis daun dan keperluan yang biasa digunakan untuk membuat hidangan hari raya.

"Biasanya, empat kelongsong ketupat dijual sekitar RM4 bergantung kepada saiznya. Bukan saja itu, kami juga ada menjual pucuk daun kelapa, daun iri, daun palas, daun pisang dan buluh," katanya ketika ditemui.

Menurutnya, kelongsong ketupat laris terutamanya pada saat-saat akhir menjelang perayaan Aidilfitri.

"Kami mempelajari cara-cara menganyam ketupat dari nenek di kampung. Pendapatan hasil berjualan sangat baik, sebab itulah kami sentiasa berusaha untuk mendapatkan tapak berniaga di sini setiap tahun," katanya.

Sementara itu, dua beradik, Siti Zuraida Datu Abdullah, 26, dan Siti Azura, 21, dari Kampung Laya-Laya, Tuaran, di sini, mengakui memang tidak ramai yang mampu menganyam ketupat ketika ini.

Zuraida berkata, dia dan adiknya mempelajari teknik menganyam ketupat dari ibunya dan sering mengikutinya berniaga di sini sejak di bangku sekolah lagi.

Katanya, sepanjang berniaga di sini, dia menumpukan untuk menganyam ketupat palas manakala adiknya akan menganyam ketupat biasa.

"Perbezaan jualan memang cukup ketara kerana permintaan begitu tinggi. Walaupun ia bermusim, pendapatan diperoleh ketika perayaan terutama Aidilfitri ini begitu memberangsangkan sesuai dengan keberkatan bulan Ramadan ini," katanya.

Berita Harian X