Selasa, 5 Jun 2018 | 5:10pm
PEMANGKU Raja Pahang, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah bergambar bersama orang ramai pada Majlis Penyerahan Zakat Korporat di Kuantan, hari ini. - Foto Muhd Asyraf Sawal

MUIP terima zakat RM3.69 juta

KUANTAN: Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP) menerima serahan zakat perniagaan daripada enam agensi korporat dengan nilai keseluruhan RM3.69 juta.

Zakat perniagaan itu diserahkan kepada Pemangku Raja Pahang, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah yang juga Yang Dipertua MUIP di Istana Abdulaziz, di sini hari ini.

Bank Kerjasama Rakyat Malaysia Berhad menjadi agensi paling tinggi membuat pembayaran zakat perniagaan iaitu RM1.32 juta, diikuti Tenaga Nasional Berhad (TNB) RM1.07 juta.

Empat lagi agensi yang membuat pembayaran zakat perniagaan adalah Maybank Islamic Berhad (RM864,241.96); Fomema Sdn Bhd (RM168,178.23); Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (ANGKASA) sebanyak RM148,632.53 dan Celcom Axiata (M) Berhad RM113,151.

Yang turut hadir pada majlis itu, Timbalan Yang Dipertua MUIP, Datuk Seri Wan Abdul Wahid Wan Hassan dan Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail.

Berita Harian X