Khamis, 31 Mei 2018 | 4:13pm
PENGERUSI Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Sains dan Teknologi Negeri, Tan Hong Pin (tiga dari kanan) menerima memorandum Bantahan Projek Pelupusan Sisa Pepejal Sanitari Bukit Payong daripada wakil penduduk, Abu Bakar Azmi (tiga dari kiri) pada sidang media yang diadakan di Bangunan Dato Jaafar Muhammad, Kota Iskandar, Johor Bahru. - Foto Nurul Amanina Suhaini
PENGERUSI Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Sains dan Teknologi Negeri, Tan Hong Pin (tiga dari kanan) menerima memorandum Bantahan Projek Pelupusan Sisa Pepejal Sanitari Bukit Payong daripada wakil penduduk, Abu Bakar Azmi (tiga dari kiri) pada sidang media yang diadakan di Bangunan Dato Jaafar Muhammad, Kota Iskandar, Johor Bahru. - Foto Nurul Amanina Suhaini

Kaji semula projek Pelupusan Sisa Pepejal Sanitari Bukit Payong

ISKANDAR PUTERI: Pembinaan Pusat Pelupusan Sisa Pepejal Sanitari Bukit Payong di Parit Sulong, Batu Pahat, akan dikaji semula bagi menjamin kesejahteraan hidup penduduk setempat.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Sains dan Teknologi negeri, Tan Hong Pin, berkata pandangan banyak pihak berkepentingan seperti penduduk setempat diperlukan sebelum keputusan dibuat.

Katanya, kajian semula perlu sama ada pembinaannya kelak akan memberi kesan buruk ke atas penduduk, selain meneliti tapak lain yang lebih sesuai dan melihat balik perjanjian di antara syarikat konsesi dan kerajaan negeri terdahulu.

"Di peringkat awal, saya sendiri akan berjumpa dengan Majlis Perbandaran Batu Pahat (MPBP) bagi mendapatkan pandangan mengenai tapak berkenaan, termasuk tapak alternatif lain.

"Sementara itu, bantuan daripada Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) perlu supaya menasihatkan kontraktor ini menangguhkan kerja untuk sementara.

"Sekarang, lawatan kerja memerlukan lebih masa untuk meneliti perkara ini, sebab yang penting kita kena pastikan impak kepada penduduk itu dapat diminimumkan," katanya pada sidang media di Bangunan Dato Jaafar Muhammad, Kota Iskandar, di sini, hari ini.

Hong Pin berkata, keutamaan pada ketika ini adalah dengan membuat pengasingan sampah iaitu dengan mengurangkan sampah yang dihantar ke tapak pelupusan sampah.

Katanya, lebih daripada separuh sampah yang masuk ke tapak pelupusan boleh dikitar semula tetapi disebabkan tahap kesedaran masih rendah dan pelaksanaan Kempen 3R kurang berkesan, semakin banyak sampah dilihat dihantar ke tapak pelupusan.

"Ini bukan sahaja satu pembaziran, malah pada masa sama ia menambah beban ke atas tapak sedia ada.

"Terdapat 15 tapak pelupusan sampah di Johor yang masih beroperasi dan banyak tapak pelupusan sebenarnya sudah hampir tamat tempoh atau sudah melepasi tempoh.

"Bagi jangka panjang, mungkin akan timbul masalah yang lebih besar. Sehubungan itu, dalam isu sampah ini, kita perlu tangani secara profesional," katanya.

Terdahulu, wakil penduduk dari Bukit Payong, menghantar memorandum yang mendakwa pembinaan tapak pelupusan sampah itu akan menyebabkan alam sekitar tercemar dan menjejaskan pendapatan penduduk.

Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Selamatkan Bukit Payong, Abu Bakar Azmi, mendakwa pihaknya sudah membantah sejak 10 tahun lalu bagi memastikan pihak berwajib menyekat sementara projek pelupusan sampah yang menjejaskan kira-kira 18 kampung di sekitarnya.

"Kami yakin kalau projek sampah ini diteruskan, Batu Pahat akan ada masalah pengeluaran hasil tanaman seperti sayur-sayuran kerana 70 peratus adalah hasil pekerjaan utama penduduk termasuk kerja kilang, ladang sawit dan pekebun tanaman sayuran.

"Projek di keluasan 56.66 hektar ini secara tidak langsung menjejaskan lebih ramai penduduk. Kami minta kerajaan meneliti semula pembinaan projek ini dan mewartakan Bukit Payong sebagai Hutan Simpan Rekreasi," katanya.

Berita Harian X