Selasa, 29 Mei 2018 | 11:41am

Maritim Malaysia Terengganu tahan nelayan Vietnam

KUALA TERENGGANU: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Terengganu menahan dan merampas tiga bot nelayan asing berserta hasil tangkapan, peralatan menangkap ikan serta diesel membabitkan nilai lebih RM2 juta di dua lokasi berbeza antara 27 hingga 31 batu nautika dari muara Kuala Terengganu, semalam.

Pengarahnya, Kepten Maritim Rahim Ramli, berkata pihaknya juga menahan 16 awak-awak termasuk tekong warga Vietnam berusia 19 hingga 58 tahun.

Katanya, ketiga-tiga bot berkenaan ditahan anggota maritim yang sedang melakukan rondaan operasi ketika bot sedang menunda pukat.

"Ketiga-tiga bot berkenaan ditahan kerana menceroboh perairan negara dan menangkap ikan tanpa kebenaran daripada Ketua Pengarah Perikanan.

"Mereka juga disyaki memalsukan dokumen dan nombor pendaftaran bot tempatan bagi mengaburi pihak berkuasa negara ini," katanya pada sidang media di Pejabat Daerah Maritim 9 (DM9) di sini, hari ini.

Beliau berkata, semua bot terbabit di bawa ke DM9 untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 15 Akta Perikanan 1985 kerana menceroboh dan menangkap ikan di perairan Malaysia tanpa kebenaran yang sah daripada Pengarah Perikanan Malaysia dan Seksyen 15 (1) (a) dan Seksyen 14 (3) akta sama serta Seksyen 6 (1) (c).

"Seorang daripada mereka juga disiasat mengikut Akta Imigresen kerana tidak mempunyai pengenalan diri yang sah.

"Sepanjang bulan ini saja, Maritim Malaysia negeri sudah melakukan tiga tangkapan membabitkan bot asing," katanya.

PENGARAH Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Terengganu, Kepten Maritim Rahim Ramli memeriksa awak-awak termasuk tekong warga Vietnam yang ditahan di Kuala Terengganu. - Foto Imran Makhzan
PENGARAH Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Terengganu, Kepten Maritim Rahim Ramli memeriksa awak-awak termasuk tekong warga Vietnam yang ditahan di Kuala Terengganu. - Foto Imran Makhzan
PENGARAH Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Terengganu, Kepten Maritim Rahim Ramli memeriksa hasil tangkapan nelayan Vietnam yang ditahan di Kuala Terengganu. - Foto Imran Makhzan
PENGARAH Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Terengganu, Kepten Maritim Rahim Ramli memeriksa hasil tangkapan nelayan Vietnam yang ditahan di Kuala Terengganu. - Foto Imran Makhzan
Berita Harian X