Jumaat, 25 Mei 2018 | 10:51pm
Kanak-kanak dari rumah anak yatim Rumah Anal Al-Firdaus membuat persembahan pada majlis berbuka puasa di DARC. - Foto Faliq Lajim

DARC bawa anak yatim tunggang kuda

SHAH ALAM: Keseronokan 22 anak yatim jelas terpancar pada wajah mereka apabila diberi peluang menunggang kuda sebaik diraikan dalam majlis berbuka puasa, malam ini.

Ia adalah inisiatif Denai Alam Recreational and Riding Club (DARC) untuk meraikan kanak-kanak dari Rumah Amal Al-Firdaus (AFCH) di Denai Alam itu, dengan cara yang istimewa.

Penjaga rumah anak yatim berkenaan, Nawwar Nadhirah Azizi, 21, berkata DARC menjemput pihaknya untuk aktiviti makan hampir setiap bulan walaupun bukan pada bulan puasa.

Bagaimanapun, katanya, jemputan kali ini lebih istimewa apabila anak-anak yatim ini dapat menunggang kuda sebaik selesai berbuka puasa.

Kanak-kanak dari rumah anak yatim Rumah Amal Al-Firdaus teruja apabila berpeluang menunggang kuda selepas diraikan dalam majlis berbuka puasa di Denai Alam Recreational and Riding (DARC) di Denai Alam. - Foto Faliq Lajim

"Hari ini juga, DARC membenarkan AFCH meletakkan kuih raya di sini bagi menambahkan pendapatan anak-anak yatim ini untuk kelengkapan raya.

"Bukan itu sahaja, DARC juga membantu mengumpul sumbangan untuk rumah kami iaitu mereka menyediakan kotak kutipan derma daripada pelanggan yang menikmati bufet Ramadan sepanjang bulan puasa.

"Wang itu akan diserahkan kepada rumah kebajikan kami untuk menampung operasi harian kami," katanya ketika ditemui pada majlis itu.

Nawwar Nadhirah berkata, rumah anak yatim itu mempunyai kira-kira 40 kanak-kanak di bawah lingkungan umur enam tahun.

Sementara itu, Pengasas DARC, Terry Teo, berkata sudah menjadi amalan serta acara tahunan DARC untuk menjemput anak-anak yatim berbuka di premis itu.

"Ini acara berbuka kali keenam. Kita mahu berkongsi kebahagiaan dengan mereka, menerusi acara lebih istimewa iaitu membawa mereka menunggang kuda," katanya.

Terry berkata, DARC menawarkan pakej sebanyak RM39.90 untuk orang dewasa dan RM19.90 untuk anak-anak bagi bufet Ramadan, termasuk sesi menunggang kuda dan memanah.

"DARC ditubuhkan untuk menjadi pusat untuk perayaan keluarga, dan kami menyediakan ruang bagi keluarga untuk bersama-sama melakukan aktiviti yang berkualiti, serta yang paling penting, tanpa perlu membayar banyak.

"Motto kami adalah 'Anak Ceria, Ibu bapa Gembira, Keluarga Bahagia', dan inilah matlamat utama kami, bukannya membuat keuntungan," katanya.

Pada masa sama, Terry berkata, tahun ini kali kedua beliau membawa pengusaha batik dari Kelantan untuk menjual produk dari negeri itu sepanjang Ramadan ini.

Bufet Ramadan DARC berlangsung sehingga 13 Jun ini dan dibuka antara jam 6 petang hingga 11 malam serta menawarkan 100 juadah yang terdiri daripada pelbagai hidangan, termasuk kambing panggang, ayam goreng, nasi ayam, ABC dan Penang kuetiau goreng.

Aktiviti menunggang kuda dan aktiviti memanah dibuka bermula jam 8.15 malam.

Berita Harian X