Khamis, 24 Mei 2018 | 2:35pm

MyPPP Pulau Pinang tolak pendirian Kayveas

GEORGETOWN: MyPPP Pulau Pinang menolak pendirian Presidennya, Tan Sri M Kayveas yang mahu parti itu keluar daripada Barisan Nasional (BN).

Naib Pengerusi MyPPP Pulau Pinang, A Raja Segaran, berkata kepemimpinan negeri sebaliknya menyokong pendirian Naib Presiden, Datuk Maglin Dennis D'Cruz yang mahu parti itu terus bersama BN.

"Semua ahli di 13 bahagian dan 45 cawangan di negeri ini menyokong pendirian Maglin yang mahu MyPPP terus bersama dan memberi sokongan padu kepada BN.

"Pendirian ini juga mendapat sokongan Pengerusi MyPPP negeri, Datuk Loga Bala Mohan yang kini menghadiri Mesyuarat Ahli Majlis Tertinggi di Kuala Lumpur," katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Sebelum ini, Kayveas mengumumkan MyPPP keluar daripada BN berkuat kuasa serta-merta untuk bergerak sendirian sebagai parti yang menyokong kerajaan pada 19 Mei lalu.

Beliau dilapor berkata, keputusan itu diambil selepas menerima surat pengesahan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS), yang memperakui beliau masih sah sebagai Presiden MyPPP.

Raja Segaran enggan mengulas apabila ditanya sama ada pendirian Kayveas itu tidak mewakili parti.

Tegasnya, MyPPP negeri hanya menyatakan sokongan kepada Manglin dan Ahli Majlis Tertinggi parti itu.

"Saya tidak mahu komen pendirian Kayveas dan apa yang saya boleh maklumkan bahawa tindakan MyPPP keluar daripada BN adalah palsu dan tidak relevan.

"Dalam hal ini, kepemimpinan MyPPP negeri jelas menyokong Manglin dan barisan Ahli Majlis Tertinggi parti untuk terus bersama BN," katanya.

NAIB Pengerusi MyPPP Pulau Pinang, A. Raja Segaran (lima dari kiri) bersama ahli partinya bergambar selepas semasa sidang media di pejabatnya, Penang Chinese Town Hall, Georgetown. - Foto Muhammad Mikail Ong
NAIB Pengerusi MyPPP Pulau Pinang, A. Raja Segaran (lima dari kiri) bersama ahli partinya bergambar selepas semasa sidang media di pejabatnya, Penang Chinese Town Hall, Georgetown. - Foto Muhammad Mikail Ong
Berita Harian X