Isnin, 14 Mei 2018 | 8:50pm
KETUA Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow semasa sidang media pertama selepas menjawat jawatan Ketua Menteri di pejabatnya, Kompleks Tun Abdul Razak (KOMTAR), Georgetown. - Foto Danial Saad
KETUA Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow semasa sidang media pertama selepas menjawat jawatan Ketua Menteri di pejabatnya, Kompleks Tun Abdul Razak (KOMTAR), Georgetown. - Foto Danial Saad

Runding kelulusan, pelaksanaan projek utama

GEORGETOWN: Kerajaan negeri akan memulakan rundingan dengan Kerajaan Persekutuan bagi mendapatkan kelulusan dan pelaksanaan projek utama di Pulau Pinang yang masih tertangguh.

Ketua Menteri, Chow Kon Yeow, berkata keutamaan pentadbirannya kini ialah memastikan projek bawah Pelan Induk Pengangkutan (PIP), Projek Tebatan Banjir dan Projek Perumahan Mampu Milik Rakyat, diluluskan segera.

Katanya, tiga projek utama bawah PIP ialah Sistem Transit Aliran Ringan (LRT) Pulau Pinang, Pan Island Link (PIL) dan Tambakan Laut Selatan (PSR) yang hingga kini belum mendapat kebenaran Kerajaan Persekutuan sebelum ini.

"Projek PSR penting kerana ia akan menyediakan kira-kira 4,000 hektar kawasan baharu yang mengurangkan tekanan pembangunan di bahagian pulau, selain menyediakan tapak pembesaran Zon Industri Bebas (FIZ) Bayan Lepas.

"Kita juga menanti kelulusan projek LRT Pulau Pinang yang belum menerima sebarang maklum balas selepas permohonan dikemukakan kepada Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) dua tahun lalu," katanya pada sidang media di Kompleks Tun Abdul Razak di sini, hari ini.

Kerajaan Pulau Pinang melancarkan PIP yang keseluruhannya dianggarkan bernilai lebih RM40 bilion pada 2016, untuk melaksanakan pembinaan sistem pengangkutan bersepadu, sistem jalan raya baharu dan tambakan tiga pulau di kawasan selatan perairan negeri ini.

Seterusnya, Kon Yeow yang juga Pengerusi DAP Pulau Pinang berkata, pihaknya akan memanggil Konsortium Zenith dalam tempoh terdekat bagi membentangkan laporan berkaitan pembinaan dua laluan baharu dan terowong dasar laut.

"Kita berharap Konsortium Zenith dapat menyiapkan segera laporan berkaitan pembinaan dua jalan baharu menghubungkan Lebuhraya Tun Dr Lim Chong Eu-Air Itam dan Tanjung Bungah-Telok Bahang yang sudah mendapat kelulusan.

"Mereka juga akan diminta membentangkan segera status terkini berkaitan projek terowong dasar laut," katanya.

Berita Harian X