Isnin, 14 Mei 2018 | 12:40pm
DATUK Seri Wan Abdul Wahid Wan Hassan. - Foto NSTP
DATUK Seri Wan Abdul Wahid Wan Hassan. - Foto NSTP

914 amil mudahkan proses bayar zakat di Pahang

KUANTAN: Seramai 914 amil ditauliahkan oleh Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP) bagi memudahkan urusan kutipan zakat fitrah di negeri ini, pada Ramadan.

Timbalan Yang Dipertua MUIP, Datuk Seri Wan Abdul Wahid Wan Hassan, berkata amil dilantik itu akan berada di masjid dan surau selain di pejabat Pusat Kutipan Zakat (PKZ) Pahang bermula 1 Ramadan.

Justeru, beliau menasihatkan umat Islam di negeri ini supaya tidak menunggu saat akhir untuk membayar zakat fitrah kerana pihaknya sudah menyediakan amil dengan jumlah yang ramai selain kemudahan pembayaran secara dalam talian.

"Zakat fitrah adalah wajib bagi mereka yang mampu dan sebaiknya ia dilaksanakan lebih awal. Tahun ini kadar zakat fitrah kekal RM7 iaitu berdasarkan harga beras di Pahang.

"Kadar itu kekal untuk tempoh 10 tahun berturut-turut sejak 2009," katanya ketika dihubungi hari ini.

Wan Abdul Wahid berkata, individu yang enggan membayar zakat fitrah boleh disabitkan kesalahan mengikut Seksyen 40 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah 2013.

"Sabit kesalahan, tertuduh boleh dikenakan denda maksimum RM2,000 atau penjara tidak lebih satu tahun atau kedua-dua sekali.

"Individu didapati mengutip zakat fitrah tanpa diberi kuasa oleh MUIP boleh disiasat mengikut Seksyen 38 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah 2013 yang jika disabitkan kesalahan boleh didenda maksimum RM3,000 atau penjara tidak lebih dua tahun atau kedua-dua sekali," katanya.

Berita Harian X