Selasa, 1 Mei 2018 | 5:05pm
SETIAUSAHA MCA Bahagian Kampar, Daniel Wa Wau How.
SETIAUSAHA MCA Bahagian Kampar, Daniel Wa Wau How.

MCA Kampar dakwa lori kempen disabotaj

KAMPAR: MCA Bahagian Kampar membuat laporan polis selepas mengesyaki kenderaan berkempen milik parti itu disabotaj dengan angin tayar dibuang, plat kenderaan dicabut dan longgokan sampah sarap diletak di atas bumbung kenderaan berkenaan.

Setiausahanya, Daniel Wa Wau How berkata, perkara itu disedari seorang kakitangannya, Chai Juen Chong, yang terkejut selepas kenderaan yang diletak di kawasan parkir sebuah hotel malam tadi, disabotaj pihak tidak bertanggungjawab.

Katanya, Juen Chong menyedari kejadian itu hari ini, apabila ternampak tayar lori berkenaan kempis manakala nombor pendaftaran kenderaan dikopak sekitar jam 6.40 pagi.

"Pada mulanya beliau menyangka tayar bocor akibat terkena paku namun apabila diteliti nombor pendaftaran dikopak malah ada dua bungkusan sampah di atas bumbung kenderaan, ia sudah jadi lain.

"Saya percaya ia perbuatan sabotaj mereka yang tidak senang dengan ceramah anjuran MCA sepanjang kempen Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) ini," katanya pada sidang media di Bilik Gerakan MCA Parlimen Kampar dekat sini, hari ini.

Wau How yang juga calon Barisan Nasional (BN) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Keranji itu berkata, pihaknya mengutuk sekeras-kerasnya tindakan itu kerana ia jelas bercanggah dengan amalan demokrasi di negara ini.

"Saya menyeru kepada mana-mana pemimpin dan parti politik supaya memastikan semua ahli dan jentera tidak melakukan perbuatan melampau demi menjaga imej negara.

"Saya tidak menuduh mana-mana pihak dan biarlah polis menjalankan siasatan namun tindakan seperti ini sudah di luar batas, tidak perlu merosakkan poster atau kenderaan orang kerana kita amalkan demokrasi," katanya.

Beliau turut mendakwa lebih 50 bendera BN di Malim Nawar, Mambang Diawan dan sekitar Kampar disabotaj oleh pihak tertentu.

Berita Harian X