X
Isnin, 2 April 2018 | 5:29pm
KETUA Polis Kuala Lumpur Datuk Seri Mazlan Lazim (dua dari kiri) menunjukkan peta laluan acara Kuala Lumpur Standard Chartered International Marathon 2018 pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur, hari ini. - Foto Salhani Ibrahim
KETUA Polis Kuala Lumpur Datuk Seri Mazlan Lazim (dua dari kiri) menunjukkan peta laluan acara Kuala Lumpur Standard Chartered International Marathon 2018 pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur, hari ini. - Foto Salhani Ibrahim

Jalan tutup di ibu kota

KUALA LUMPUR: Sebanyak 25 jalan sekitar ibu kota akan ditutup dan dilencongkan sempena acara Kuala Lumpur Standard Chartered International Marathon 2018 di Dataran Merdeka, bermula jam 3 pagi hingga 12 tengah hari pada 7 dan 8 April ini.

Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Seri Mazlan Lazim berkata, antara laluan terbabit ialah Jalan Raja (Dataran Merdeka), Jalan Tunku Abdul Rahman, Jalan Sultan Ismail, Jalan Ampang, Jalan P Ramlee, Jalan Raja Chulan, Jalan Bukit Bintang, Jalan Tun Abdul Razak dan Lebuhraya Bertingkat Ampang-Kuala Lumpur (AKLEH).

"Laluan lain ialah Jalan Tun Ismail, Jalan Dato' Onn, Jalan Sultan Sallehudin, Jalan Parlimen, Jalan Damansara, Lebuhraya Sultan Iskandar, Jalan Kinabalu dan Jalan Sultan Hishammuddin (Keretapi Tanah Melayu).

"Lebuhraya Duta-Ulu Kelang (DUKE), Jalan Kuching (dari Selayang), Jalan Tuanku Abdul Halim (Duta), Jalan Raja Muda Abdul Aziz (Hospital Kuala Lumpur), Jalan Raja Abdullah (Kampung Baru), Jalan Langgak Tunku, Jalan Bukit Tunku dan Jalan Tunku turut ditutup dan dilencongkan," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur, di sini, hari ini.

Mazlan berkata, seramai 400 pegawai dan anggota polis termasuk daripada Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) akan ditempatkan bagi mengawal lalu lintas di sepanjang jalan berkenaan.

"Dijangkakan, 38,000 peserta dalam dan luar negara menyertai acara berkenaan yang terdiri daripada empat kategori iaitu larian sejauh 42 kilometer, 21 kilometer, 10 kilometer dan lima kilometer.

"Semua jalan yang ditutup dan dilencongkan akan dibuka secara berperingkat seawal jam 12 tengah hari bagi memberi laluan kepada pembersihan jalan," katanya.

Beliau menasihatkan orang ramai menggunakan pengangkutan awam bagi mengelak kesesakan lalu lintas.

"Pejalan kaki digalak menggunakan lintasan dan laluan disediakan selain jejantas di kawasan jalan terbabit.

"Orang ramai diminta memanfaatkan kawasan tempat letak kenderaan disediakan dan mengelak meletak kenderaan di bahu jalan yang mengganggu pergerakan lalu lintas," katanya.

Katanya, sebarang pertanyaan boleh diajukan kepada Dirigo Event (M) Sdn Bhd di talian 03-78874717.

"Orang ramai juga boleh menghubungi DBKL di talian 03-26179378 atau hotline Trafik Kuala Lumpur 03-20719777 selain Facebook PolisKL, TrafikKL dan Instagram Trafik_KL," katanya.

Berita Harian X