Sabtu, 24 March 2018 | 5:31pm
PRESIDEN Pertubuhan Pelindung Khazanah Alam Malaysia (PEKA), Puan Sri Shariffa Sabrina Syed Akil (kiri) menanam pokok sebagai simbolik program Save Our Rainforest Race 2018 (SORR) Edisi Keenam, Kerling pagi tadi. - Foto Amrullah Abdul Karim
PRESIDEN Pertubuhan Pelindung Khazanah Alam Malaysia (PEKA), Puan Sri Shariffa Sabrina Syed Akil (kiri) menanam pokok sebagai simbolik program Save Our Rainforest Race 2018 (SORR) Edisi Keenam, Kerling pagi tadi. - Foto Amrullah Abdul Karim

1,500 peserta SORR tanam 1,000 anak pokok hutan

KUALA KUBU BARU: Kira-kira 1,500 peserta dari seluruh negara menyertai Save Our Rainforest Race 2018 (SORR) di Hutan Simpan Gading, Kerling, di sini, pagi ini, sambil menanam 1,000 anak pokok hutan.

Antara pokok hutan yang ditanam peserta yang menjayakan perlumbaan sejauh 15 kilometer itu ialah pokok bucida hijau, penaga lilin dan tanjung.

Larian yang memberi fokus kepada menjaga, memelihara dan menyelamatkan hutan hujan tropika negara itu dianjurkan oleh Pertubuhan Pelindung Khazanah Alam Malaysia (PEKA).

Presiden PEKA, Puan Sri Shariffa Sabrina Syed Akil, berkata dengan slogan 'Cut The Greed, Not The Green', SORR diharap dapat memupuk kesedaran masyarakat mengenai usaha melindungi alam semula jadi.

Katanya, SORR 2018 adalah simbolik kepada aktiviti pemuliharaan hutan berikutan PEKA mengajak peserta dan masyarakat berlumba-lumba ke arah itu.

"Peserta akan menjadi ejen kempen dan mendidik masyarakat khususnya golongan muda bermula dari keluarga dan rakan sebaya," katanya ketika merasmikan program itu.

Yang turut hadir, Ketua Seksyen Eko-Pelancongan dan Taman Negeri, Jabatan Perhutanan Negeri Selangor, Muhammad Azizun Jaafar; Panglima 4 Divisyen Infantri Malaysia, Mejar Jeneral Datuk Mohd Zakaria Yadi; Setiausaha Majlis Daerah Hulu Selangor (MDHS), Awaluddin Zakaria dan penulis yang juga penyanyi lagu tema SORR 2018, Yusrizan Yusop, 37, atau Bob Yusop.

Shariffa Sabrina berkata, SORR 2018 diadakan sempena Hari Hutan Antarabangsa 2018 dengan kerjasama Jabatan Perhutanan Negeri Selangor, MDHS, Markas 4 Divisyen Infantri Malaysia, Angkatan Tentera Malaysia dan beberapa agensi kerajaan.

Katanya, SORR sudah dianjurkan di beberapa negeri sejak 2013, bermula di Hutan Lipur Chamang, Bentong, Pahang; Hutan Simpan Sungai Besi, Kuala Lumpur (2014); Hutan Lipur Kuala Woh, Perak (2015); Hutan Simpan Sungai Menyala, Port Dickson (2016) dan Taman Negara Pulau Pinang, Teluk Bahang (2017).

Berita Harian X