Jumaat, 23 March 2018 | 4:54pm
ANGGOTA Skuad Menangkap Ular BBP Alor Setar yang diketuai Salim Razak (kanan) menunjukkan ular sawa seberat 30 kilogram yang ditangkap dan diletakkan di Taman Astakona di BBP Alor Setar. - Foto Zuliaty Zulkifli

Ular pun nak berlindung sebab musim panas

ALOR SETAR: Peningkatan suhu panas akibat fenomena ekuinoks menyebabkan beberapa haiwan, termasuk ular mencari tempat perlindungan di kawasan lembap sehingga boleh mengancam keselamatan manusia.

Timbalan Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah, Penolong Pesuruhjaya Bomba Mohd Zahar Abdullah berkata, ular biasanya akan keluar dari habitat asal mereka akibat cuaca panas mencari tempat yang sejuk dan lembap untuk berlindung.

Beliau berkata, suhu panas yang melampau juga akan menyebabkan reptilia ini bertindak agresif dan akan menyerang manusia sekiranya terasa diancam.

"Justeru itu, orang ramai disaran menghubungi pasukan penyelamat yang mempunyai kepakaran dan kemahiran untuk membantu menangkap ular yang memasuki kediaman mereka.

"Kita bimbang kesilapan boleh mengundang padah dan seeloknya menghubungi pihak kami untuk membantu menangkap haiwan berbisa ini," katanya ketika ditemui di pejabatnya, hari ini.

Sementara itu, anggota Skuad Menangkap Ular Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Alor Setar, Salim Razak berkata, ular paling banyak di daerah ini adalah jenis sawa dan tedung senduk diikuti ular punti serta rusuk kerbau.

Katanya, orang ramai juga perlu tahu bahawa ular mempunyai spesis berbisa dan tidak berbisa, tetapi paling penting perlu menghubungi pasukan penyelamat untuk membantu menangkap reptilia berkenaan.

"Kami mengikuti kursus yang dikendalikan Jurulatih dari Akademi Bomba Wilayah Timur, Pegawai Bomba Safiq Mohamad bulan lalu mengenai cara menangkap ular dan dari situ kami mempunyai keyakinan untuk menangkap ular termasuk King Cobra (tedung selar) ketika melakukan operasi.

"Malah panggilan berkaitan ancaman ular ketika cuaca panas ini turut bertambah disebabkan suhu panas yang meningkat menyebabkan reptilia itu keluar dari habitatnya.

"Kami bersedia dari segi mental dan fizikal kerana bukan senang untuk menangkap ular dan biasanya ular sawa paling sukar kerana memerlukan anggotanya yang ramai dan bergantung pada saiz dan beratnya," katanya, hari ini.

Salim berkata, spesis tedung selar pula agak merbahaya dan patukannya boleh menyebabkan mangsa maut dalam tempoh singkat iaitu sekitar lima minit sekiranya tidak mendapat rawatan segera di hospital.

Berita Harian X