Khamis, 8 March 2018 | 5:09pm
KETUA Pegawai Eksekutif Ranhill Water Services Sdn Bhd, Khairul Effendy Tusam. - Foto Hairul Anuar Rahim
KETUA Pegawai Eksekutif Ranhill Water Services Sdn Bhd, Khairul Effendy Tusam. - Foto Hairul Anuar Rahim

Johor rekod NRW paling rendah di Malaysia

JOHOR BAHRU: Johor mencatat kecemerlangan apabila merekodkan air tanpa hasil (NRW) paling rendah di Malaysia bagi setiap kilometer paip, iaitu 0.017 juta liter sehari (MLD) per kilometer, tahun lalu.

Ketua Pegawai Eksekutif Ranhill Water Services Sdn Bhd, Khairul Effendy Tusam, berkata dalam tempoh 15 tahun yang ditetapkan, pencapaian itu sudah dapat dicapai pada 2017.

Beliau berkata, dengan kejayaan itu juga, SAJ Ranhill Sdn Bhd (SAJ Ranhill), anak syarikat Ranhill Holdings Bhd (Ranhill) dapat mengurangkan kos operasi produksi sebanyak RM70.8 juta bagi tahun lalu.

"Dengan pencapaian ini juga, kita dapat mengutip pendapatan tambahan berjumlah RM83.6 juta sepanjang tahun lalu.

"Langkah holistik yang membawa kepada penurunan NRW ini dilakukan melalui 10 langkah Aquasmart Teknologi, antaranya seperti pemantauan DMA, penukaran meter air, tekanan air dan kawasan takungan, kerugian komersil serta beberapa langkah lain," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas memberi taklimat berhubung NRW dalam sesi lawatan delegasi ASIAWATER 2018 ke SAJ Ranhill di sini, hari ini.

Khairul Effendy berkata, dengan penurunan NRW itu, maka SAJ Ranhill dapat membekalkan keperluan penggunaan air buat 1.5 juta penduduk.

Beliau berkata, mengikut peratusan, pihaknya mencatatkan penurunan NRW di Johor daripada 35.43 peratus pada 2002 kepada 24.7 peratus bagi tempoh berakhir Disember 2017.

"Setakat Januari ini pula, jumlah peratusan itu menurun lagi ke 24.5 peratus dan kita sasarkan NRW di Johor akan dapat dikurangkan kepada 24.2 peratus menjelang akhir tahun ini," katanya.

Berita Harian X