Sabtu, 17 Februari 2018 | 2:40pm
USAHAWAN, Datuk Seri Sunny Ung (dua kiri) bertanya khabar keadaan Kha Xing Shyan, 9 (kiri), Kha Xing Rhu, 16 (dua kanan) dan Kha Xing Fays, 20 (kanan) yang kematian kedua ibubapa dan adik mereka dalam kejadian bunuh di Tanjung Chat pada Disember 2017 lalu di satu program pengambilan 3 orang sebagai anak angkat serta memberi sumbangan sempena Tahun Baru Cina di Kampung Penambang. - Foto Nik Abdullah Nik Omar

Tiga beradik dapat sinar baharu

KOTA BHARU: Sambutan Tahun Baharu Cina memberi sinar baharu kepada tiga beradik yang hidup kesempitan selepas ibu bapa mereka dibunuh pada November lalu.

Nasib malang Kha Xing Rhuu, 16, dan kakaknya, Kha Xing Faye, 20, yang menetap di rumah peninggalan ibu bapa di Bachok, manakala adik bongsu mereka, Kha Xing Shyan, 9, tinggal bersama ibu saudara di Gua Musang, mendapat perhatian ahli perniagaan, Datuk Seri Sunny Ung.

Sunny yang tersentuh dengan nasib tiga beradik itu berjanji akan menyalurkan bantuan termasuk dari segi pendidikan dan perbelanjaan bulanan.

"Berita pembunuhan kejam ibu bapa dan adik lelaki mereka amat mengejutkan saya hingga ke hari ini.

"Apa yang menghairankan saya hingga hari ini tiada pihak tampil membantu mereka," katanya yang melawat tiga beradik itu di Kampung Cina di sini, semalam.

Sunny berkata, beliau akan mengambil ketiga-tiga adik itu sebagai anak angkatnya.

"Mereka terutama yang bongsu masih trauma akibat kejadian itu dan memerlukan sokongan semua pihak. Saya akan menjaga kebajikan mereka dan pastikan mereka mendapat pendidikan sewajarnya" katanya.

Sementara itu, Xing Faye berterima kasih kepada Sunny kerana sudi meringankan bebanan mereka.

"Kami terhutang budi kepada Datuk Seri Sunny kerana sudi membantu kami. Selain mak dan bapa saudara, kami tiada saudara mara lain yang boleh membantu," katanya.

Dalam kejadian jam 2.30 petang pada 15 November tahun lalu, ibu bapa tiga beradik itu, Kha Eng Ni, 42; dan Chua Joo Seok, 37, serta anak lelaki mereka, Kha Zee Hanz, 13, dibunuh di rumah mereka di Taman Bahagia, Wakaf Mek Zainab di sini.

Xing Rhuu turut cedera dalam kejadian itu.

Berita Harian X