Ahad, 11 Februari 2018 | 4:23pm
PEGAWAI Perubatan Unit Perubatan Transfusi HUSM, Dr Amalina Md Noh. - Foto Rosliza Mohamed
PEGAWAI Perubatan Unit Perubatan Transfusi HUSM, Dr Amalina Md Noh. - Foto Rosliza Mohamed

HUSM sasar 15,000 beg darah tahun ini

KOTA BHARU: Unit Perubatan Transfusi Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) menyasarkan 15,000 beg darah menerusi kempen derma darah yang giat dilakukan, tahun ini.

Pegawai Perubatannya, Dr Amalina Md Noh, berkata tahun lalu, HUSM mengumpulkan antara 10,000 hingga 12,000 beg darah selepas mengadakan pelbagai kempen, termasuk membuka peluang kepada mereka yang mahu menderma pada waktu malam ketika Ramadan.

Katanya, HUSM membahagikan kempen kepada empat musim bagi menggalakkan lebih ramai individu menderma darah.

"Musim pertama ialah cuti umum disusuli cuti sekolah, perayaan dan hujung tahun (Disember) yang mempunyai peratusan tinggi orang bercuti.

"Tidak dinafikan golongan wanita didapati lebih ramai menderma darah berbanding lelaki di Kelantan.

"Analisis juga mendapati hanya satu peratus individu tampil ke hospital ini untuk menderma darah," katanya ketika ditemui di sini, hari ini.

Dr Amalina berkata, walaupun tahap kesedaran orang menderma darah masih rendah, HUSM sentiasa mengambil langkah sewajarnya bagi memastikan bekalan darah mencukupi.

Beliau tidak menafikan masih ada individu yang takut dengan jarum dan kurang sedar kepentingan derma darah, menyebabkan tidak ramai tampil berbuat demikian.

"Satu beg darah boleh digunakan untuk tiga pesakit tertakluk kepada jenis kecederaan dan ia hanya boleh disimpan untuk tempoh 45 hari.

"Bagi remaja berusia bawah 17 tahun yang ingin menderma darah, mereka perlu terlebih dahulu mendapat kebenaran ibu bapa.

"Selain di negeri ini, HUSM turut mengambil peluang mengadakan kempen menderma darah dengan pelbagai agensi lain, termasuk di Besut, Terengganu," katanya.

Berita Harian X